Sabtu, 31 Januari 2009

SYEIKH ABDUL LATHIF TAMBI

ULAMA, GIGIH, DERMAWAN


TIDAK banyak sejarah ulama ini diperkenalkan, namun pernah ditulis oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam Peringatan, No. 1, th 1, Mei 1939. Gambarnya menghiasi muka depan majalah Qalam, Singapura, No. 158, terbitan Rabiulakhir 1383 H/September 1963 M. Sesudah itu riwayat hidup ringkasnya dimuat dalam majalah Qalam, No. 160, terbitan Jamadilawal/Rejab 1383 H/November 1963 M. Selanjutnya telah saya dokumenkan yang dinamakan Warqah Maklumat No. 31/PENGKAJI/1422/2001, tarikh Jumaat, 26 Jamadilakhir 1422 H/14 September 2001 M. Datuk neneknya (lima lapis ke atas) berasal dari India yang beragama Islam. Haji Abdul Lathif berasal dari Melaka, tinggal di Kampung Teluk Mas, Melaka. Nama lengkapnya, Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawii. Gelarannya ialah Bahauddin. Gelaran ini diberikan oleh Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf, ulama besar dan Mufti Melaka yang hidup sezaman dengan beliau.Abdul Lathif lahir di Melaka pada tahun 1288 H/1872 M. dan meninggal dunia pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M. Dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka. Beliau dibesarkan di Singapura. Ketika berusia lapan tahun, beliau dikirim oleh ayahnya ke Mekah. Pendidikan di Mekah dilaluinya kira-kira 20 tahun, iaitu dari tahun 1880 M. hingga tahun 1900 M.
KEBANGKITAN
Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dan ramai lagi.Kehadirannya di Mekah bersamaan dengan tahun kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani yang mencetuskan Jam`iyatul Fathaniyah dalam gerakannya di Mekah, Mesir dan Turki.Oleh kerana itu tidak ragu-ragu lagi bahawa Abdul Lathif Tambi adalah termasuk salah seorang kader Syeikh Ahmad al-Fathani dan barisan ulama yang bersamanya. Beliau mulai giat mengajar pada tahun 1318 H/1900 M di Singapura. Di sebuah ruangan kecil di dalam kedai menjual kain ayahnya di Arab Street, Singapura digunakannya untuk tempat mengajar.
Selain itu Abdul Lathif Tambi juga mengajar di rumah kediamannya di North Bird Road, Singapura. Beliau juga giat berdakwah dan mengajar di tempat-tempat lain, di antaranya di Melaka, Pulau Pinang, Medan (Sumatera Utara), Surabaya, Bandung dan Tanjung Pinang (Kepulauan Riau). Selain mengajar beliau juga aktif dalam perniagaan kain di Arab Street, Singapura. Beliau memiliki perniagaan mesin cetak, Lathifiyah Press, 768 di North Bird Road, Singapura dan Mathba'ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah di Terengkera, Melaka. Hubungan perniagaannya yang dapat dikesan ialah Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang gigih berjuang sekali gus sebagai seorang saudagar (hartawan) yang dermawan pada zamannya. Di antara perwatakan peribadinya yang pernah disebut di dalam majalah Qalam pula, ``Almarhum ialah seorang hartawan dan dermawan, iaitu selain sebagai seorang ulama yang terbilang pada zamannya. Almarhum sepanjang hayatnya adalah sentiasa mengajar dan banyak daripada murid-murid almarhum hingga sekarang ini masih ada lagi. Dan banyak pula di antaranya yang termasuk golongan yang terbilang.'' Selanjutnya, ``... Beliau membuat syarahannya dengan gaya dan cara yang menarik terutamanya pula almarhum seorang yang pandai membuat jenaka. Dengan cara itu syarahan beliau menjadi perhatian dan sangat menarik. Beliau terkadang-kadang memakai serban tetapi yang terbanyak beliau memakai tharbusy.''Disebutkan pula, ``Demikianlah sebagai satu suluh, almarhum telah menyinarkan syiar Islam dengan kemahuan dan tenaga sendiri, berjihad pada jalan Allah, bukan sahaja dengan ilmunya tetapi dengan harta dan tenaga ...''Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah: Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, A. Hassan Bandung, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa'id dan ramai lagi. Abdul Lathif Tambi termasuk ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Sebaliknya A. Hassan Bandung adalah anak saudara dan muridnya, merupakan pelopor Kaum Muda yang paling terkenal dan mengundang kontroversi di Nusantara.
KARYA KARYA
Di antara karyanya yang telah ditemui atau yang telah diketahui judulnya ialah:
1. Hidayatur Rahman, diselesaikan pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Cetakan yang ketiga dilakukan di percetakan miliknya sendiri, iaitu Mathba'ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H. Kandungannya membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pada halaman 86 kitab ini Abdul Lathif Tambi menegaskan, `` ...Iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah inilah iktikad yang betul,lagi sempurna daripada segala iktikad yang lain.
Dan iktikad inilah, wahai thalib, yang dipegang oleh ulama yang besar-besar. Maka wajiblah di atas tiap-tiap mukalaf berpegang dengan iktikad mereka itu ...''. Ada pun yang dimaksudkan dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu Abdul Lathif Tambi sama pendapatnya dengan jumhur ulama. Beliau menegaskan pada bahagian tepi kitab ini dengan katanya, ``Qauluhu, Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu mengikut iktikad (Imam) Abil Hasan al-Asy'ari dan (Imam) Abil Manshur al-Maturidi''.
2. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan), diselesaikan pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H. Kandungan ringkas: Membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam. Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik. Di antara kitab Melayu/Jawi yang disebut seperti pada halaman 7 disebut kitab berjudul Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H dan Ad-Durruts Tsamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (halaman 7 dan 12) cetakan tahun 1338 H mengenai perbahasan akidah. FikahPada halaman 40 disebut Mathla'ul Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mengenai perbahasan fikah dan kitab yang sama disebut lagi pada halaman 84 pada perbahasan tasawuf. Pada halaman 74 disebut Furu`ul Masail jilid kedua oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H juga mengenai perbahasan fikah. Pada halaman 76 dan 81 disebut Siyarus Salikin jilid ketiga oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah mengenai perbahasan tasawuf. Pada halaman disebut Hidayatus Salikin oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah juga mengenai perbahasan tasawuf. Pada halaman 96 juga disebut Hidayatus Salikin mengenai ilmu yang memberi manfaat. Di antara kitab bahasa Arab yang dikarang oleh ulama dunia Melayu yang dirujuk ialah Shulhul Juma'atain (hlm. 60) cetakan tahun 1312 Hijrah dan Itsbatuz Zain (hlm. 71) cetakan tahun 1315 H, kedua-duanya oleh Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau. Juga Miraqil 'Ubudiyah (hlm. 97) cetakan tahun 1328 H, oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.
3. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara, diselesaikan pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M). Dicetak oleh Melaka Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah merupakan sanggahan terhadap karangan Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, yang dicetak di Jeddah, 18 Rabiulawal 1353 H tentang haram memukul ketuk-ketuk (beduk). Karangan ini adalah lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-'Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).
4. Dalailul Khairat. Kandungannya belum diketahui, kerana judul ini diketahui melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.
5.
Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan. Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Mengenainya disebut beberapa halaman dalam kitab tersebut di antaranya halaman 83. Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura yang diungkapkan dalam majalah Qalam, ``Apabila terbit perbahasan mengganti bangunan Masjid Sultan yang lama dengan Masjid Sultan yang ada sekarang ini, maka almarhum banyak mengambil bahagian di dalam perbahasan yang hebat dan panjang di antara ulama itu. Iaitu tentang boleh merobohkan sebuah masjid menggantikanya dengan yang baru, ertinya memutuskan amal jariah seseorang yang telah terbina di situ.'' Tulisan ini diringkaskan daripada artikel berjudul Syeikh A. Latif Tamby Dan Pembelaannya Terhadap Akidah Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah yang akan dibentang dalam Majlis Tazkirah Tokoh Islam, anjuran Jabatan Agama Johor, yang akan berlangsung pada 23 Mac 2004, bertempat di Dewan Besar Kompleks Islam Johor, insya-Allah.

HUSEIN KEDAH AL-BANJARI

GENERASI PENERUS ULAMA BANJAR

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

APABILA kita membicarakan keturunan ulama yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab pengetahuan Islam di dunia Melayu, maka saham atau andel terbesar ialah keluarga besar ulama Patani, yang melibatkan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi. Sesudah ulama Patani, demikian juga keluarga besar ulama Banjar. Mengenainya dimulai oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan beliau. Salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyatu darah dengan orang Kedah ialah Tuan Husein Kedah al-Banjari. Nama lengkapnya ialah Tuan Haji Husein Kedah bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bin Abdullah. Tuan Husein lahir di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, hari Ahad, 20 Jamadilawal 1280 Hijrah/2 November 1863 Masihi dan meninggal dunia pada hari Isnin, 18 Zulkaedah 1354 Hijrah/10 Februari 1936 Masihi).
PENDIDIKAN
Tuan Husein Kedah al-Banjari sebaya umur dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang, Darul Qiyam, Kedah (Ulama Nusantara, Utusan Malaysia, Isnin, 31 Mei 2004) kerana sama-sama lahir dalam tahun 1280 Hijrah/1863/4 Masihi. Barangkali ada hubungan erat antara kedua-dua ulama itu kerana ibu Tuan Husein bernama Tengku Fatimah binti Tengku Mahmud, juga berasal dari daerah Kubang Pasu. Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari, seorang ulama besar yang juga menghasilkan beberapa buah karangan. Pelajaran dilanjutkan di Patani, di Pondok Bendang Daya dan sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang DayaII). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga pernah belajar di Pondok Semela. Untuk lebih memantap dan memperdalam pelbagai ilmu Tuan Husein melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Sewaktu di Mekah dipercayai Tuan Husein Kedah al-Banjari bersahabat dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang. Di antara guru kedua-duanya ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi. Di antara guru kedua-duanya yang paling muda ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan yang lebih tua antara tujuh atau lapan tahun saja daripada kedua-duanya. Sungguhpun tulisan ini pada mulanya adalah untuk memfokuskan penulisan kitab yang telah dihasilkan oleh Tuan Husein Kedah al-Banjari, namun perlu juga disentuh bahawa perjuangan beliau dalam segi mengajar sama ada di pondok pengajian yang diasaskannya mahupun mengajar kitab di tempat-tempat tertentu adalah sejalan, seimbang dan sama berat dengan penulisan. Oleh itu Tuan Husein Kedah dapat kita klasifikasikan sebagai seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/ penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam.
PENULISAN
1. An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.
2. Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah.
Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
3. Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah.
Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330 Hijrah. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
4. Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356 Hijrah/April 1937 Masihi. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.
5. Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
6. Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377 Hijrah/1957 Masihi.
7. Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382 Hijrah/1962 Masihi.
8. Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343 Hijrah. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350 Hijrah. Dicatatkan, ``Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30''.
9. Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
10. `Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
11. Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355 Hijrah (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jamadilawal1393 Hijrah.
12. Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
13. Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.
14. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350 Hijrah. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360 Hijrah. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.
15. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jamadilakhir 1352 Hijrah (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jamadilakhir 1360 Hijrah.
16. Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
17. Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
18. Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.
19. Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah.
Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Al-Madrasah Al-Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''
20. Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe- merintahan.
PENUTUP
Gambaran ketekunan mengajar dan menulis ulama besar yang berasal dari Banjar dan Kedah yang sangat dikasihi oleh umat Islam di mana saja beliau menginjakkan kakinya. Selain itu beliau telah mewakafkan tanah miliknya di beberapa tempat beliau membina pondok pengajian, masjid, perkuburan Muslim dan lain-lain. Di antaranya yang dapat disaksikan sekarang ialah Sekolah Agama di Padang Lumat, Kedah, Sekolah Agama di Pokok Sena, Seberang Perai dan lain-lain. Tulisan ini masih ada kekurangan kerana keturu-nannya belum dapat disentuh, insya-Allah akan ditulis dalam sebuah buku yang lebih lengkap.

TENGKU ALI TENGKU SELAT

GEMBALA PERNIAGAAN MELAYU

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DATUKNYA ialah Tengku Abdullah, Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga ke-9. Ayahnya Raja Haji Muhammad atau Tengku Nong hanya sempat menyandang gelar `Kelana'. Oleh sebab beberapa faktor tertentu, tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga. Ayah saudaranya pula Raja Haji Muhammad Tahir adalah Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Semua nama yang tersebut itu dan beliau sendiri, iaitu Tengku Ali atau digelar juga dengan Tengku Selat adalah tokoh-tokoh Melayu yang bertaraf ulama, bersepadu dengan kearifan perkara-perkara yang bercorak duniawi. Mereka beramal dan mendalami pengetahuan Islam, sekali gus bijak mengatur kemaslahatan kepentingan kehidupan peribadi, keluarga besar, umat Islam di persekitaran dan zamannya melalui perniagaan, pentadbiran jabatan dan pemerintahan yang mereka tangani.
MEMPERJUANGKAN
Hanya dua orang tokoh besar yang pernah berperanan dalam kerajaan Riau-Lingga, sewaktu penulis masih kanak-kanak dan pemuda, yang sempat penulis temui pada akhir hidupnya, ialah Tengku Ali dan Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Endut. Tengku Ali adalah seorang tokoh besar kerajaan Riau-Lingga kerana pernah menjadi Ketua Setiausaha Riau-Lingga. Rakyat Riau-Lingga juga pernah memperjuangkan beliau untuk menjadi Sultan Riau-Lingga, namun beliau menolaknya.Tidak sedikit orang yang pernah memegang sesuatu jabatan tinggi atau berkuasa, mereka berpengaruh dan bijak, tetapi setelah tiada kuasa, mereka menjadi orang yang bodoh kerana hilang pegangan dan pedoman. Berlainan dengan Tengku Ali, sewaktu kerajaan Riau-Lingga dihapuskan oleh penjajah Belanda (1911), beliau sangat tekun beribadah, bertawakal kepada Allah. Sebahagian besar Kerabat Diraja Riau-Lingga berhijrah ke Singapura, namun Tengku Ali mempunyai pandangan tersendiri. Kerajaan Riau-Lingga yang demikian besar pengaruhnya ketika itu telah hapus, perniagaan Raja Ali Kelana dan Raja Haji Ahmad mengalami krisis kehancuran tiada terkawalkan lagi, ketika itulah Tengku Ali muncul dengan kebijaksanaannya. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu. Dalam artikel ini penulis cuba mengungkapkan kisah ulama Riau-Lingga ini membina perniagaan yang benar-benar berdasarkan syariah Islam dan menggunakan sistem persahaman yang banyak persamaan dengan yang digunapakai dunia moden sekarang ini. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam. Tengku Ali lahir tercatat pada 1286 H/1869 M, tetapi dalam Surat Keterangan Yang Berlaku Laksana Paspot No. 21441 yang dikeluarkan di Singapura pada 10/8/1950 oleh Republik Indonesia Serikat dinyatakan bahawa Tengku Ali lahir di Pulau Penyengat (Riau) tahun 1874 M. Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau, 9 Rejab 1374 H/ 3 Mac 1955 M.
PENUNJANG EKONOMI
Untuk pengukuhan ekonomi, Tengku Ali memasuki pelbagai sektor penunjang sebagai benteng pertahanan supaya ekonomi tetap stabil. Sektor-sektor itu ialah, memiliki tanah perkebunan, memiliki tempat-tempat perniagaan sendiri, bukan menyewa kepada pihak lain, memiliki alat pengangkutan sama ada di darat mahu pun di laut, menjalankan permodalan bersama sama ada sesama keluarga atau kerabat mahu pun seluruh kaum Muslimin. Dalam hal ini perlu penentuan saham atau sher. Untuk kemaslahatan umat Islam, rangka pendek, perlu menyediakan tempat-tempat pendidikan. Untuk rangka panjang, umat Islam perlu mempunyai hak milik sendiri.Dalam hal ini perlu menyediakan perkebunan wakaf dan tanah wakaf. Menurut Tengku Ali modal yang paling utama seseorang insan Muslim ialah `tawakkal `alallah', mendahulukan pembayaran yang wajib, iaitu zakat daripada sedekah yang sunat. Mengenai ini termasuk juga mendahului pembayaran upah pekerja daripada lain-lainnya. Semua yang tersebut ini termasuk dalam kerangka pembinaan ekonomi sistem Islam Tengku Ali, yang menghendaki huraian yang sangat panjang, sekelumit di antaranya saja yang dapat diperkenalkan dalam artikel ini.
Sebagai bukti aktiviti Tengku Ali dalam sektor perkebunan di antaranya ditemui tulisan tangan beliau sendiri, bahawa beliau membuka perkebunan di Pulau Kemili, Riabu, Kepulauan Siantan. Surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Siantan, hari Isnin, 2 Rejab 1319 H bersamaan dengan tahun 1901 M yang ditandatangani oleh Orang Kaya Dewa Perkasa Muhammad Usman dan Amir Serta Bakal Pangeran Siantan yang diberikan izin kepada Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Kelana/Tengku Nong membuat kebun getah dan lainnya di tanah Pulau Siantan Darat, Teluk Tarempa. Pemilikan tanah dan perkebunan Raja Ali di sekitar Kepulauan Siantan bukan untuk keperluan peribadinya saja, tetapi untuk umat Islam.
LUAS
Tanah yang disebut dalam surat di atas, adalah sangat luas, separuh gunung Tarempa, Siantan, beliau wakafkan untuk Masjid Jamik Tarempa. Selain yang tersebut Tengku Ali juga mewakafkan beberapa tanah dan perkebunan kelapa di tempat-tempat lainnya, di antaranya tanah dan kebun kelapa untuk Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai. Masjid tersebut beliau sebagai ketua, yang peralatannya dikerjakan dan didatangkan dari Terengganu. Selain itu ada lagi tanah wakaf dan kebun wakafnya untuk masjid di Jemaja. Tengku Ali juga adalah perintis pengurusan kebun-kebun wakaf untuk guru-guru yang mengajar di Mekah dan Madinah, kerana ulama yang mengajar di kedua-dua tanah haram pada zaman itu tiada bergaji atau mempunyai penghasilan tetap seperti sekarang ini. Pengiriman wang hasil wakaf ke Mekah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Wakil Tengku Ali dalam urusan tersebut di Mekah ialah Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (Pulau Pinang).
PERNIAGAAN DAN PERCETAKKAN
Perniagaan Kerabat Diraja Riau-Lingga dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar, dimulai di Pulau Midai tahun 1324 H/ 1906 M. Tahun 1330 H/19l2 M Raja Ali/Tengku Selat menerima penyerahan pimpinan Syarikat Ahmadi & Co. Midai daripada Raja Haji Ahmad, kerana Raja Haji Ahmad akan berangkat pindah ke Mekah. Tanggal 28 Rejab 1332 H/1913 M surat nombor 91 dan nombor 92 Raja Ali mengirim surat kepada Raja Haji Ahmad di Mekah, bahwa beliau akan mengembangkan perniagaan Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura. Dengan Akta, Midai 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M ditetapkanlah untuk membuka cawangan Ahmadiah Pulau Tu-juh di Singapura yang berpejabat di Palembang Road 18 B. Aktiviti perniagaannya merupakan agensi pengumpulan hasil bumi dan laut, selanjutnya aktif dalam eksport dan import pelbagai jenis barangan.Kemudian pindah ke Minto Road 50. Pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1339 H/3 Disember 1920 M mufakat pula mendirikan percetakan. Perusahaan di Minto Road 50 itu berkembang terus dan pada tahun 1926 M Ahmadiah membeli sebuah rumah nombor 82 Jalan Sultan Singapura, kemudian nombornya diganti menjadi nombor 101 Jalan Sultan.
Grant List Governement nombor 2650 lamanya dianggarkan 99 tahun. Telah dibeli oleh orang lain sebelumnya pada 12 Julai 1873 M. Jadi Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura hanya memilikinya sampai 12 Julai 1972 Masihi saja.
DOKUMEN
Selain sebagai Ketua Al-Ahmadiah, Raja Ali/Tengku Selat adalah sebagai sponsor dan sesepuh daripada berbagai-bagai perusahaan niaga di Pulau Tujuh, Sumatera, Singapura dan Malaya. Di antara yang sempat penulis jumpai dokumennya ialah: 1. Natuna Syarkah Sedanau, sekurang-kurangnya telah wujud tahun 1318 H/1900 M, enam tahun mendahului Ahmadi & Co. Midai. Pendirinya Raja Haji Idris bin Raja Haji Umar/Tengku Endut.
2. Syarikat Air Putih (Midai). 3. Syarikat Kampar-Kuantan di Midai dan Sumatera. 4. Syarikat Semuafakat/ Moefakat (seluruh Pulau Tujuh). 5. Syarikat Subi-Pulau Panjang 6. Syarikat Letung-Jemaja. 7. Syarikat Terempa. 8. Syarikat Usaha Tenun Terengganu di Singapura. Semua syarikat tersebut ada ketua, tetapi hanya sebagai simbolik. Kuasa tertinggi sebagai penentu adalah Raja Ali/Tengku Selat. Lambang pada surat peribadi Raja Ali/Tengku Selat berbentuk tangan bersalaman dengan cogan kata (motto) di atasnya `Tawakkalna `ala Allah.' Di kanan `Bersetia Jaya', dan di kiri `Bercerai Merbahaya'.Untuk menjadi anggota salah satu syarikat itu adalah dengan cara membeli lembaran sher atau saham. Ternyata yang paling banyak diminati oleh masyarakat Melayu ialah saham Ahmadi & Co. Midai mahu pun saham Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura. Dalam penyelidikan yang penulis jalankan, penulis belum menemui sesebuah syarikat milik Melayu pada zaman itu yang mempunyai anggota yang bercorak sejagat.
Orang-orang Melayu yang membeli saham syarikat itu selain Kerabat Diraja Riau-Lingga, termasuk beberapa orang ulama Melayu di Mekah yang berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.
Saham juga dibeli oleh golongan terpelajar, di antara mereka ada yang berasal dari Padang dan Betawi (Jakarta). Saham anugerah pula di antaranya pernah diberikan kepada ulama Arab bernama Syeikh Abdul Hamid al-Firdausi, bekas Mufti Riau-Lingga. Surat Raja Ali di Singapura, tarikh 8 Safar 1347 H, memperlihatkan niat baik atau tujuan Al-Ahmadiah ditulisnya, ``... segala perjalanan kita dari dahulu hingga ini semata-mata atas jalan pemeliharaan dan bantu membantu atas tiap-tiap kesusahan, keberatan kerabat yang jauh apa lagi yang hampir ... ``. Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa ``yang empunya harta benda yang dipegang oleh Ahmadi itu, laki-laki yang cerdik pandai berhitung dan lainnya''. Hubungan perniagaannya juga sangat luas, surat Tengku Ali di Singapura tarikh 26.9.1925 M membuktikan bahawa Al-Ahmadiah 50 Minto Road, Singapura ada hubungan langsung kepada Company Robin di Amsterdam (Negeri Belanda). Surat Tengku Ali di Singapura kepada Raja Kaluk dan Raja Hasnan di Ahmadi Midai, tarikh 2 Jamadilawal 1344 H/18 November 1925 M membuktikan Al-Ahmadiah Singapura memesan langsung alat-alat percetakan dari Mesir, Beirut dan Amerika. Selain itu surat yang sama juga membuktikan kemajuan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura.
WASIAT
Ketika Tengku Ali mencecah usia lebih kurang 93 tahun, pada tarikh Midai 35 Julai 1954, ketika itulah beliau membuat Surat Wasiat untuk orang-orang yang meneruskan usahanya. Ada 13 perkara yang termaktub dalam surat wasiat itu. Surat wasiat ditandatangani oleh yang berwasiat, juga ditanda tangani oleh tiga orang yang menerima wasiat, ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud dan Raja Muhammad Nazir bin Raja Haji Mahmud. Pada tarikh, Midai, 7 Ogos 1954 dibuat penambahan, yang beliau tanda tangani, juga ditanda tangani oleh dua orang saksi ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan Raja Ali bin Raja Mohd. Sa'id.

JA'AFAR BIN ENCIK ABU BAKAR LINGGA

GEMBALA KHAZANAH KERAJAAN RIAU-LINGGA

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA Haji Ja'afar hampir-hampir tidak disentuh oleh sebahagian besar sarjana penyelidik tentang ketokohan yang berasal dari Riau. Sebagai contoh Abu Hassan Sham dalam Puisi-Puisi Raja Ali Haji, hanya ringkas sekali, menyebut, ``Dia adalah pengarang Ringkasan Hukum Faraid. Tebalnya 60 halaman. Besar kemungkinan dia juga salah seorang anggota Rusydiah Kelab.'' Oleh itu penulis telah menyusuri riwayat ulama dan tokoh penting kerajaan Riau-Lingga tersebut mulai Pulau Penyengat hingga ke Pulau Singkep dan Pulau Lingga, akhirnya penulis memperoleh seberkas dokumen Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar Lingga yang tidak kalah pentingnya dengan ulama dan tokoh Nusantara lainnya. Dalam dokumen yang ada sekurang-kurangnya ada tiga perkara untuk menempatkan ulama tersebut sebagai tokoh bijaksana Nusantara, iaitu pernah menjadi Sekretari Rusydiyah Kelab, pernah menjadi pentadbir dalam Gembala Khazanah Kerajaan Riau-Lingga, pernah berkhidmat sebagai pentadbir kepada sultan dan kerajaan Terengganu.Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar mendapat pendidikan terakhir di Mekah, seangkatan dengan ulama-ulama Nusantara yang terkenal seperti Tok Kenali, Mufti Haji Abdullah Fahim, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, dan lain-lain. Walau pun Haji Ja'afar tidak termasuk keturunan Kerabat Diraja Riau-Lingga, namun kerana kecerdasannya beliau mendapat pendidikan khusus tentang pentadbiran dan siasah (politik) bersama-sama Kerabat Diraja Riau-Lingga di Istana Pulau Penyengat. Selanjutnya tugas-tugas penting kerajaan Riau-Lingga banyak diberikan kepercayaan oleh sultan mahu pun Yang Dipertuan Muda kepada beliau. Sampai artikel ini ditulis, penulis belum mengetahui ada tokoh lain yang bukan golongan kerabat diraja berperanan di Kerajaan Riau-Lingga seperti Haji Ja'afar.
ARKIB SURAT SURAT
Penulis sangat berterima kasih kepada anak perempuan Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar dan menantunya Haji Abdul Ghani yang bermurah hati menyerahkan seberkas dokumen orang tuanya kepada penulis sewaktu penulis menjejaki Pulau Lingga. Menurutnya, kitab-kitab Haji Ja'afar yang sangat banyak semuanya telah musnah, yang dapat diselamatkannya hanyalah yang diserahkan kepada penulis. Lembaran dan jenis surat yang diserahkan kepada penulis pun cukup banyak, hanya segelintir saja yang dapat dibicarakan di bawah ini iaitu:
1. Surat Rusydiyah (Kelab), No. 23 yang ditandatangani oleh Tengku Abdul Qadir ibnu Almarhum as-Saiyid Syaikh al-Qudsi selaku Presiden Rusydiyah (Kelab), tarikh ``Termaktub di Rusydiyah (Kelab) pada 18 hari bulan Zulhijjah, hari Arba' sanah 1317 (Hijrah)''. Surat ini dengan jelas menyebut bahawa Tuan Haji Ja'afar bin Yarhamullah Encik Abu Bakar ``... dan kami angkat menjadi Sekretaris di Rusydiyah (Kelab) ...''
2. Surat Rusydiyah (Kelab), Angka 6 yang ditandatangani oleh Tengku Abdul Qadir ibnu Almarhum as-Saiyid Syaikh al-Qudsi selaku Presiden Rusydiyah (Kelab), tarikh ``Termaktub di Rusydiyah (Kelab) pada 7 hari bulan Rabiulakhir, hari Isnin sanah pada 1322 (Hijrah)''. Surat ini dengan jelas tertulis, ``Telah mengangkat akan Tuan Haji Ja'afar bin Yarhamullah Encik Abu Bakar menjabat pekerjaan menjadi Timbalan Rusydiyah (Kelab) kerana telah ittifaq timbangan lid-lid Rusydiyah (Kelab) mematutkan dia berpangkat demikian itu ...'' Daripada kedua-dua surat di atas jelaslah sebagai jawapan tulisan Abu Hassan Sham yang masih bersifat tertanya-tanya bahwa Haji Ja'afar ``besar kemungkinan dia juga salah seorang anggota Rusydiah Kelab''. Daripada kedua-dua surat itu sangat jelas peranannya, surat pertama melantiknya sebagai menjadi Sekretaris di Rusydiyah (Kelab) sedang surat yang kedua pula melantiknya sebagai menjadi Timbalan Rusydiyah (Kelab).
3. Surat Pengakuan D. Breedveldt Boer Controleur Tandjong Pinang, tarikh Tandjong Pinang, den 27 Jun 1902. Lengkap dengan cap. Surat terdiri daripada tulisan Melayu/Jawi dan di sebelahnya tulisan Latin/Rumi. Kedua-keduanya menggunakan bahasa Melayu. Yang dengan Melayu/Jawi adalah tulisan tangan sedang dengan Latin/Rumi menggunakan mesin taip huruf condong. Di antara kandungannya bahawa Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar ketika bekerja di Khazanah Kerajaan Riau-Lingga adalah seorang yang boleh dipercayai dan pandai sekali memegang dan menjaga khazanah dan daftar-daftar tentang itu. Yang dimaksudkan dengan Khazanah Kerajaan Riau-Lingga ialah merupakan sebuah lembaga kewangan tertinggi Kerajaan Riau-Lingga, jabatan tersebut pernah diketuai oleh Haji Ja'afar. Untuk menentukan bahawa kewangan tidak disalahgunakan sekurang-kurangnya diadakan pemeriksaan kewangan yang juga dilakukan oleh pihak pembesar penjajah Belanda
5. Surat Gembala Khazanah Kerajaan Riau-Lingga, Angka 1, tarikh Riau Penyengat pada 2 Safar 1322 dan 17 April tahun 1904, Surat Perintah Kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar, kandungannya merupakan perintah kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar pergi ke Sungai Setaman dengan menggunakan kapal kerajaan bernama ``Penyengat 2'' ada lima macam yang ditugaskan kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar terutama ialah pemungutan hasil Kerajaan Riau-Lingga.
6. Surat Perintah Kepada Haji Ja'afar, tanggal Penyengat pada 19 Syaaban 1322, kandungannya merupakan perintah kepada Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar pergi ke Singkep dengan menggunakan kapal kerajaan bernama `Penyengat' untuk menjemput beberapa orang pemuka masyarakat kerana akan dilantik menjabat beberapa jabatan kerajaan.
7. Salinan Surat Sumpah Setia Pegawai-Pegawai Kerajaan Yang Berpangkat Lain Daripada Menteri Dan Amir-Amir Pada Masa As-Sulthan `Abdur Rahman Mu'azhzham Syah Kerajaan Lingga-Riau, surat asli ditulis malam Selasa, tarikh 7 Rabiulakhir tahun 1327 (Hijrah) bersamaan 26 April tahun 1909 (Masihi).
Surat ini telah disalin oleh Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar sendiri. Surat asli ditandatangani oleh 18 orang, mereka ialah: Raja Haji Muhammad Sa'id ibnu Raja Muhammad Tahir, Engku Ambi Saiyid Idris, Tengku Hasan ibnu Tengku `Utsman (Embung), Engku Syaikh ibnu Saiyid `Utsman Qudsi, Tengku Haji Mahmud ibnu Tengku Nong Kelana, Raja Abu Bakar Selidik Jiwa, Raja Ahmad, Raja `Ali ibnu Raja Hasan, Raja Haji Ahmad ibnu Raja Haji Hasan, Raja Endut, Raja Muhammad Nukman, Haji Husein, Raja Haji `Umar ibnu Raja Haji Hasan, Raja Muhammad Sa'id, Haji Ja'afar ibnu Encik Abu Bakar, Tengku `Ishmatuhum, Raja Idris ibnu Raja Ja'afar dan Tengku Simbob ibnu Tengku `Abdul Qadir.
8. Ringkasan Hukum Faraid, yang disentuh ringkas oleh Abu Hassan Sham di atas. Kitab tersebut diselesaikan di Kampung Baru, Daik, Lingga pada 11 Safar 1334 H dibantu oleh sahabatnya Haji Abdul Hamid ibnu Isa Lingga. Kandungannya merupakan keringkasan cara-cara membahagi pusaka yang diringkaskan daripada kitab Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Al-Manhajul Masyru' karya Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif al-Minankabawi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura.
9. Catatan Hal Ehwal. Masih dalam bentuk manuskrip asli.
Kandungannya merupakan catatan peristiwa beliau mulai berada di Terengganu dan bekerja sebagai Sekretari Sultan Terengganu. Catatan dimulai 1 Muharam 1337 H sampai 1 Rabiulawal 1341 H. Dalam catatan ini dapat kita ketahui hubungan yang sangat erat antara Haji Ja'afar dengan Sultan Terengganu dan para golongan istana Terengganu selain baginda sultan. Selain itu sangat banyak perkara penting yang terjadi dalam jarak waktu yang tersebut itu, sebagai contoh di antaranya terdapat tentang kewafatan Raja Haji Muhammad Sa'id bin Raja Haji Muhammad Tahir ulama dan pengarang Riau yang terkenal. Haji Ja'afar Lingga menulis, ``11 Safar 1338 H, malam Selasa, jam 9, sampai di pelabuhan Singapura. Dan mendapat khabar Raja Haji Muhammad Sa'id bin Engku Engah (Engku Engah ialah gelaran untuk Raja Haji Muhammad Tahir bin Marhum Mursyid, pen:) kembali ke rahmatullah pada malam Selasa itu, jam pukul 7. Dan hamba dapat khabar terus hamba naik ke darat di Geylang di rumah Raja Haji Muhammad Tahir itu. Dan petangnya dikuburkan di Bukit Wakab. Dan berjumpalah hamba dengan Raja Haji Ali waktu itu''. Yang dimaksudkan dengan Raja Haji Ali, di sini ialah Tengku Ali atau Tengku Selat, tokoh yang dimuat dalam Utusan Malaysia, Ruangan Agama, minggu lalu.
10. Ada tiga lembar surat Pejabat Setia Usaha Kerajaan Terengganu mengenai Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar masing-masing pada tarikh Terengganu, pada 11 Ramadan 1335 (Hijrah), Terengganu, pada 21 Ramadan 1337 (Hijrah) dan surat S. 1 bilangan 31/38 Di Dalam Jabatan Setia Usaha Kerajaan Terengganu, pada 6 Safar 1338 (Hijrah). Surat yang terakhir ini menyatakan bahawa Haji Ja'afar bin Encik Abu Bakar bekerja di Pejabat Setia Usaha Kerajaan Terengganu mulai 20 Muharam 1335 (Hijrah) sampai 30 Muharam 1338 (Hijrah), tertulis selanjutnya, ``Maka ia minta berhenti kerana hendak balik ke Lingga (Daik). Maka di dalam pekerjaan tiada cacat suatu apa-apanya di dalam pekerjaan itu. Maka telah mengakulah kita Haji Ja'afar itu seorang yang baik di dalam pekerjaannya lagi taat bagi kerajaan ... `` Walau pun masih banyak dokumen penting mengenai Haji Ja'afar Lingga yang akan dibicarakan namun terpaksa penulis tinggalkan, insya-Allah kelanjutannya akan dibicarakan pada waktu-waktu yang lain.

RAJA UMAR HASAN

MUDIR MATHBA'AH AL-AHMADIYAH PERTAMA

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

BIOGRAFI Raja Ali Haji cukup banyak ditulis orang, yang diriwayatkan ini adalah salah seorang cucu ulama, pujangga, sejarawan Melayu yang sangat terkenal itu. Nama lengkap beliau ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad bin Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah bin Upu Daeng Celak. Beliau adalah orang pertama yang berusaha menerbitkan karya-karya datuknya, Raja Ali Haji itu. Salah sebuah karangan Raja Ali Haji yang penting berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa terbitan pertama oleh Mathba'ah Al- Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, juga atas usaha Raja Haji Umar. Oleh sebab kekeluargaan ini termasuk penting dalam perkembangan kepelbagaian dunia Melayu sejagat, maka sebelum menceritakan riwayat ringkas Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji yang tersebut, dirasakan perlu terlebih dulu memperkenalkan adik beradik Raja Ali Haji dan putera/puteri beliau. Adik beradik Raja Ali Haji yang telah diketahui ada 16 orang, ialah 1. Raja Abdul Majid, 2. Raja Abdul Wadud, 3. Raja Haji Umar/Tengku Endut, 4. Raja Haji Ali, 5. Raja Abdullah (Amir Karimun), 6. Raja Utsman, 7. Raja Abdul Hamid, 8. Raja Muhammad Sa'id, 9. Raja Kecik, 10. Raja Shaliha, 11. Raja Fatimah, 12. Raja Aisyah, 13. Raja Shafiyah, 14. Raja Maimunah, 15. Raja Hawi, dan 16. Raja Maryam. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas belum dibicarakan di sini dan akan dibicarakan secara terperinci pada tempat dan waktu-waktu mendatang. Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang, ialah: 1. Raja Haji Hasan (ayah kepada personaliti yang sedang diriwayatkan), 2. Raja Mala', 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja Engku Awan (ibu kepada Raja Kaluk), 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13. Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih, 16. Raja Siah, 17. Raja Engku Amdah. Perkembangan keturunan nama-nama yang tersebut di atas juga belum dibicarakan di sini, kecuali yang sedang diriwayatkan iaitu anak Raja Haji Hasan saja. Selanjutnya adik beradik Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan bin Raja Ali Haji, ada 12 orang, mereka, ialah: 1. Raja Haji Abdullah Hakim 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji Umar (yang sedang diriwayatkan), 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, 12. Raja `Amimah.Raja Haji Umar yang dibicarakan dalam artikel ini adalah pada nombor 7 dalam senarai yang tersebut di atas. Raja Haji Umar dari sebelah ayahnya adalah cucu Raja Ali Haji, sedangkan dari sebelah ibunya adalah cucu Marhum Mursyid, iaitu Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-9. Raja Haji Hasan, ayahnya, adalah putera Raja Ali Haji. Ibunya pula ialah Raja Maimunah binti Marhum Mursyid. Raja Maimunah adalah adik beradik dengan Raja Haji Muhammad Tahir, Hakim Kerajaan Riau-Lingga yang telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia, Isnin yang baru lalu.Riwayat pendidikannya ketika masih berada di Riau-Lingga, beliau mendapat pendidikan daripada golongan intelektual istana bersama adik beradiknya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi hakim terakhir Kerajaan Riau-Lingga, Raja Khalid Hitam, pejuang Riau-Lingga, yang meninggal dunia di Jepun pada tahun 1912 M. Pelajarannya dilanjutkan ke Mekah. Sewaktu berada di Mekah sangat rapat hubungannya dengan dua orang anak Syeikh Ismail an-Naqsyabandi al-Khalidi Minangkabau, iaitu Syeikh Muhammad al-Minankabawi (wafat 1303 H) dan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi (wafat 1313 H). Oleh sebab pelajar-pelajar golongan Kerabat Diraja Riau-Lingga di Mekah, termasuk Raja Haji Umar, adalah dalam pengurusan keluarga Syeikh Ismail Minangkabau pada waktu itulah mereka berhubung erat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, kerana Syeikh Tahir Jalaluddin adalah menantu Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau itu.Raja Haji Umar tidak sempat belajar kepada Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Minangkabau, tetapi sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi. Walau bagaimana pun diriwayatkan Raja Haji Umar dan saudara-saudaranya selama berada di Mekah lebih banyak belajar kepada dua orang ulama yang berasal dari Patani,iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani mengirim Raja Haji Umar belajar ke Mesir.
Di antara sahabat Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan sewaktu belajar di Mekah ialah Haji Wan Ismail bin Syeikh Abdullah al-Fathani, iaitu anak saudara Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Kedua-dua ulama Riau dan Patani itu akhirnya berbiras, kerana kedua-dua isteri mereka adalah adik beradik. Kedua-duanya berjuang menyebarkan ilmu melalui Mathbaah Al-Ahmadiah Singapura. Aktiviti dimulai dengan perlantikannya sebagai Mudir atau istilah lain digunakan juga Manager Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama. Syarikat tersebut diasaskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau, syarikat induknya berpusat di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau dengan nama Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai (1324 H/1906 M). Raja Haji Umar dilantik dalam syarikat itu adalah atas kehendak saudara sepupunya Raja Ali (Tengku Selat) bin Raja Muhammad Tengku Nong dan pengasas syarikat itu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar/Tengku Endut. Sebelum melanjutkan aktiviti Raja Haji Umar yang lain, di sini perlu juga disentuh status kepimpinan Ahmadiah ketika itu ialah di pusatnya di Pulau Midai digunakan istilah Wakil Kuasa Ahmadi & Co. Midai ialah Raja Kaluk. Beliau juga cucu Raja Ali Haji, ibunya bernama Engku Awan adalah anak perempuan Raja Ali Haji.Dalam masa yang sama terdapat dua orang Wakil Kuasa, yang seorang lagi ialah Raja Hasnan. Setelah kedua-duanya meninggal dunia digunakan istilah Kuasa Al-Ahmadi & Co. Midai, dipegang oleh Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Untuk di Cawangan Singapura digunakan istilah Mudir atau Manager. Mudir atau Manager yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan. Untuk pengurusan di Mekah al-Mukarramah digunakan istilah Wakil Al-Ahmadiah di Mekah ditangani oleh Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (berasal dari Pulau Pinang). Raja Ali/Tengku Selat adalah Ketua Syarkah Al-Ahmadi & Co. Midai dan Mathba'ah Al- Ahmadiah Cawangan Singapura, merupakan pimpinan yang tertinggi daripada Keluarga Diraja Riau itu, dalam bidang usaha niaga mulai Pulau Tujuh hingga Singapura ketika itu. Atas usaha Raja Haji Umar itulah maka karangan-karangan yang berasal daripada keluarga Diraja Riau-Lingga dikumpulkan dan diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah yang mendapat restu daripada Raja Ali (Tengku Selat) dan Raja Haji Ahmad. Daripada semua yang telah dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan adalah seorang ulama yang mahir dalam penyusunan pentadbiran kewiraswastaan usaha niaga yang bercorak Islam. Sekali gus beliau seorang tokoh yang pandai menilai sesuatu penulisan, pemikiran, sejarah dan khazanah yang dipandang perlu diselamatkan. Selain aktif mengumpul dan menyelamatkan khazanah pemikiran kekeluargaan Riau-Lingga, Raja Haji Umar juga melibatkan diri dalam penulisan, di antaranya Jurnal Keluarga Riau (tidak sempat diterbitkan) yang mengandungi di antaranya perjalanan kewafatan Raja Badariyah binti Raja Haji Muhammad Tahir saudara sepupunya. Karyanya yang lain ialah Ibu Di dalam Rumah Tangganya. Dalam Natijah Al-Ahmadiah terbitan 1341 H/1922-1923 M Raja Haji Umar telah memuat salinan ilmu falakiyah karangan sahabatnya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin.Raja Haji Umar meninggal dunia berdasarkan catatan Raja Ali (Tengku Selat) tertulis, ``Dan pada 27 Rabiulawal 1347 bertepatan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen) pukul dua, lewat lima belas minit, waktu itulah berlaku kudrat Allah Taala atas Raja Haji Umar bin al-Marhum Raja Haji Hasan Riau kembali ke rahmatullah. Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah, Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap ...'' Raja Haji Umar bin Raja Hasan meninggalkan lima orang anak, ialah: Raja Muhammad Saleh, Raja Muhammad Shafik, Raja Muhsin, Raja Salamah (semuanya daripada satu ibu). Daripada isterinya yang bernama Raja Hajah Malihah binti Raja Haji Muhammad memperoleh seorang anak, ialah Raja Abdul Aziz al-Mursyidi.Raja Muhammad Saleh adalah anak beliau yang tua yang bekerja di Al-Ahmadiah Press sejak masa jayanya hingga ke masa menurunnya perusahaan itu. Penulis mempunyai hubungan dekat dengan keluarga ini, oleh itu pertama kali sampai di Singapura pada tahun 1967 penulis menginap di rumahnya, di Lorong Engku Kadir, Kaki Bukit, Singapura. Pada waktu itu Al-Ahmadiah Press masih berjalan dengan lancar. Raja Muhammad Shafik bin Raja Haji Umar pernah berkhidmat kepada Pustaka Nasional Singapura. Darah pengarang Raja Ali Haji turun kepada cucunya Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dilanjutkan oleh Raja Abdul Aziz al-Mursyidi. Aziz al-Mursyidi mendapat pendidikan jurusan sastera Arab di Universiti al-Azhar. Artikel-artikelnya banyak dimuat dalam beberapa majalah terutama majalah Qalam. Sewaktu pertama sampai di Kuala Lumpur (1970) penulis menginap di rumahnya, di Jalan Intan, Gombak, penulis menggunakan kesempatan menanyakan beberapa kalimat sastera Arab kepada beliau, bererti penulis sebagai murid beliau.
Pada waktu itu beliau jugaselaku penterjemah daripada bahasa Arab ke Melayu dan sebaliknya di radio dan televisyen Malaysia. Pertemuan terakhir antara beliau dengan penulis tahun 1978, dalam keadaan sakit dan selanjutnya meninggal dunia di Singapura, tanpa meninggalkan keturunan. Sebagai penutup, ``Kukhayalkan secebis kisah Aziz Mursyidi kelahiran Singapura, pernah tinggal di pulau kecil, terpencil, Pulau Midai.
Menumpang tongkang berangkat ke Terengganu, ke Singapura terus ke Mekah dan Mesir mencari ilmu. Raja Ali Haji adalah moyangnya, dia adalah pewaris pujangga, dia dilupakan orang, namun padaku ada catatan.''

RAJA MUHAMMAD TAHIR RIAU

HAKIM RIAU-LINGGA DAN ULAMA FALAKIAH

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ILMU Hisab dan Falakiah berkembang dalam kerajaan Riau-Lingga dimulai oleh Raja Ali Haji yang belajar daripada Saiyid Abdul Rahman bin Ahmad al-Mashri di Betawi. Apabila pujangga Riau itu ke Mekah mengikut orang tuanya, Raja Haji Ahmad pada tahun 1243 H/1817 M, Raja Ali Haji dan ayahnya mentahqiqkan pelbagai ilmu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, termasuk Ilmu Hisab dan Falakiyah. Raja Ali Haji selain seorang pengarang, juga mengajar ilmu-ilmu keIslaman kepada kerabat-kerabatnya, di antara mereka yang menjadi ulama besar dan Hakim ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin Raja Haji Abdullah (al-Marhum Mursyid).Raja Haji Muhammad Tahir merupakan orang pertama di Riau yang menulis dalam bidang Ilmu Hisab dan Falakiyah sebagai dokumentasi. Kemunculannya boleh disenaraikan dalam golongan di antara orang-orang pertama melakukan penulisan ilmu itu di dunia Melayu. Hal tersebut diakui, kerana pada peringkat awal memang tidak ramai ulama dunia Melayu melakukan penulisan ilmu tersebut, bahkan termasuk sampai ke zaman kita sekarang ini (1425 H/2004 M) sangat sedikit sekali yang menulis perkara itu. Walau bagaimanapun Syeikh Abbas Kuta Karang Aceh dan lain- lain telah mendahului Raja Haji Muhammad Tahir Riau. Naskhah hisab dan falak karya beliau hanyalah dapat diketahui dan dipelajari melalui salinan yang dibuat oleh putera beliau sendiri, iaitu Raja Haji Muhammad Sa'id, seorang ulama Riau-Lingga yang banyak menghasilkan karya. Oleh sebab asas Ilmu Hisab dan Falak telah dirintis oleh kedua-dua orang kerabat Diraja Riau-Lingga itu, ia memberi laluan mudah kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari memperkembangkan ilmu itu. Kerabat Diraja Riau-Lingga merupakan orang pertama memperkenalkan dan memperkembangkan karya-karya hisab dan falak Syeikh Tahir Jalaluddin itu melalui natijah-natijah yang mereka terbitkan di Singapura. Yang memperkenalkan karya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari itu masih keluarga dekat dengan ulama ini, di antara mereka ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dan Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud.
KETOKOHAN
Raja Haji Muhammad Tahir telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya.
PENDIDIKAN
Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat, 26 Zulhijjah 1276 H/1859 M, Raja Muhammad Tahir belum akil baligh lagi, sedangkan anaknya yang tua, Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong berada di Mekah. Saudara tuanya, ialah Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong yang telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk mendidik Raja Muhammad Tahir. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong sendiri sebelum ke Mekah telah mendapat pendidikan daripada ayahnya. Juga sewaktu di Riau-Lingga beliau diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Raja Muhammad Tahir mendapat pelbagai ilmu daripada abangnya termasuklah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Beliau juga sempat belajar kepada Raja Ali Haji. Di antara pengetahuan yang dipelajarinya daripada Raja Ali Haji ialah Ilmu Bahasa Melayu, termasuk karang mengarang, Ilmu Sosiologi, Sejarah, Ilmu Hisab/Falak dan lain-lain lagi. Selepas itu Raja Haji Muhammad Tahir melanjutkan pelajarannya ke Mekah.
Selama berada di Mekah beliau dalam pemeliharaan Syeikh Ismail Minangkabau dan keluarganya. Di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi.
KEJAYAAN
Raja Haji Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar kerajaan Riau-Lingga dalam masa transisi kejayaan kerajaan itu kepada masa kerajaan itu dimusnahkan oleh pihak penjajah Belanda. Walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar, namun beliau masih sempat mendidik kaum kerabatnya mengenai ilmu-ilmu keIslaman. Dua orang anak beliau yang berilmu pengetahuan, Raja Haji Muhammad Sa'id dan Tengku Badariyah. Beliau jugalah sebagai pendidik anak saudaranya iaitu Raja Ali/Tengku Selat bin Raja Haji Muhammad/Tengku Nong. Raja Ali/Tengku Selat digelar masyarakat dengan ``Bapak Gembala Perniagaan Melayu''.
Raja Haji Muhammad Tahir juga dikenali sebagai tokoh ``murabbir ruh'' (pendidik kerohanian). Beliau adalah Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah seperti orang tuanya, Raja Haji Abdullah/Marhum Mursyid. Ramai kerabat Diraja Riau-Lingga ditawajuh atau dibaiah oleh beliau sendiri, di antaranya termasuk putera beliau, Raja Haji Muhammad Sa'id, anak saudara beliau, Raja Ali/Tengku Selat, dan ramai lagi. Perkara ini jelas dalam sepucuk surat wasiat Raja Haji Muhammad Tahir kepada Raja Ali/ Tengku Selat itu. Kata beliau, ``Sesungguhnya Raja Ali yang tersebut itu sebagai munassibku sebagaimana yang telah diijazahkan oleh saudaraku Raja Haji Muhammad yang tersebut itu atasku .''
PENULISAN DAN PEMIKIRAN
Raja Haji Muhammad Tahir tidak menghasilkan karangan, jika dibandingkan penulisan Raja Haji Muhammad Sa'id, putera beliau, ternyata puteranya itu lebih produktif.
Yang dapat dikesan setakat ini ialah: 1. Naskhah Hisab. 2. Syair Pintu Hantu. Pada Naskhah Hisab beliau menggunakan nama lengkap Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid al-Khalidi. Pada penulis ada sebuah manuskrip yang merupakan salinan puteranya Raja Haji Muhammad Sa'id, tarikh 1 September 1910 M. Naskhah Hisab juga pernah dimuat dalam Natijah Al-Usrah, terbitan Mathba'ah Al-Usrah, 5-2 Palembang Road, Singapura, tahun 1336H/ 1917 M-1918 M. Dimuat lagi salinan Raja Haji Muhammad Sa'id yang tersebut.
MENYALIN
Untuk menyemak pemikiran dan gaya bahasa Raja Haji Muhammad Tahir itu, dirasakan perlu menyalin mukadimah Naskhah Hisab itu, ialah, katanya, ``Kemudian daripada itu maka inilah natijah bagi tahun hijrah nabawiyah 1336 yang masuk ke dalamnya tahun milad 1917 dan 1918 melengkapi akan segala waktu sembahyang, dan menyatakan segala musim-musim, dan hari-hari besar dan lainnya sebagaimana yang dilihat di dalamnya.Ada pun takwim sehari bulan yang di dalam natijah ini ialah atas hisab qamari yang hakiki, iaitu dihubungkan sehari bulannya apabila pada ketika masuk matahari maka bulan masih tertinggal di atas ufuk, padahal telah berhimpun bulan itu dengan matahari pada ketika siangnya. Syahdan segala auqat (waktu-waktu, pen:) ini atas hisab zaman wusta urufi, iaitu jam yang dipakai oleh orang putih. Permulaannya dari pukul 12 tengah malam. Adalah segala auqat ini bagi negeri-negeri yang hampir khatulistiwa dan bagi negeri-negeri yang aradnya 1 dan 2 darjat ke Utara, iaitu seperti: Riau, Singapura, Johor, Batu Pahat, Muar, Melaka, Kampar, Siak, Pontianak, Sambas, Mempawah, Sarawak, Siugu, Padang Sidempuan, Rawa, Ternate, Sintang, dan negeri-negeri yang bersamaan dan berhampiran aradnya dengan dia.
Maka bolehlah beramal dengan dia pada negeri-negeri arad satu darjat dan dua darjat ke Selatan. Dan negeri-negeri yang aradnya tiga, empat dan lima darjat ke Utara dan ke Selatan dengan syarat berihtiyathlah masing-masing ahli negeri itu sekadar lima minit hingga lapan minit. Ada pun negeri-negeri yang memakai jam negeri asing itu, maka sayugianya memakai tafawut di antara dua taul. Pada tiap-tiap satu darjat tafawutnya empat minit. Jika negeri yang diikut jamnya itu sebelah Barat, yang negerinya sebelah Timur, maka ditambah. Dan jika negeri yang diikut jamnya itu di sebelah Timur dan negerinya di sebelah Barat maka dikurangkan. Seperti: Melaka mengikut jam Singapura (sebelah Timur Melaka). Singapura taulnya 108.51 darjat, Melaka taulnya 102.15 darjat tafawut taulnya 1.36. 1.36 darjat kali empat minit sama dengan 6.24 minit (iaitu pukul 12 Singapura sama dengan 12.06 Melaka). Tersalin daripada: Naskhah Hisab Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid. Oleh Muhammad Sa'id bin Muhammad Tahir Riau Singapura, 14 Mei 1917 M.''Demikianlah transliterasi mukadimah Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir pada Natijah Mathba'ah Al-Usrah, 1336 H/1917-1918 M. Kandungannya pula banyak perkara-perkara yang menarik sebagai contoh pada halaman 32 pengarangnya mencatatkan bahawa sampai Muharam 1336 H bersamaan Oktober 1917 M, ``... telah lalu dari masa turun Nabi adam a.s. daripadanya syurga 8195 tahun.''Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir yang disalin oleh Mudir Mathba'ah Ahmadi, 50 Minto Road, Singapura, 15 Ogos 1920, lain pula kandungannya dengan salinan di atas sesudah mukadimah lalu membicarakan judul Gerhana Bulan Gelap selanjutnya tertulis, ``Berlaku hikmah al-Ilahiyah, dan harakat falakiyah, dan qawaid hisabiyah dengan bahawasanya menengahi bumi antara jirim bulan dan matahari pada 15 Safar, malam Khamis, sanah 1338 berbetulan 27 Oktober tahun 1920, gerhana bulan gelap. Permulaan gerhana pukul 7.46. Permulaan gelap pukul 9.02. Pertengahan gelap pukul 9.37. Permulaan terang pukul 10.12. Kesudahan gerhana pukul 11.27.''
MEMPERKENALKAN
Transliterasi yang bersumber daripada kedua-dua salinan karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau di atas adalah bertujuan memperkenalkan jalan ilmiah dan gaya bahasa ulama silam kita mengenai ilmu yang kurang diminati orang. Jika membicarakan kandungan kedua-dua sumber tersebut, maka ruangan yang diperuntukkan tidak cukup memadai. Oleh itu memperkenalkan ini lebih lengkap perlu difikirkan. Selain karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau yang disebutkan di atas barangkali masih ada karya beliau belum diketahui. Saya mempunyai sebuah surat wasiat beliau kepada saudaranya Raja Ali/Tengku Selat juga boleh dianggap sebagai satu karya tulisannya.
KETURUNAN
Putera Raja Haji Muhammad Tahir yang menjadi ulama besar ialah Raja Haji Muhammad Sa'id (wafat di Singapura, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M) dan Tengku Badariyah (wafat di Singapura, 10 Rabiulawal 1347 H/26 Ogos 1928 M). Raja Haji Muhammad Sa'id adalah seorang ulama besar Riau-Lingga mendapat pendidikan di Mekah dan Tengku Badariyah adalah seorang tokoh perempuan Riau-Lingga yang mahir berbahasa Arab, baik percakapan mahupun penterjemahan.
Kedua-dua mereka akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri.

TUAN TABAL

PENYEBAR THARIQAT AHMADIYAH PERTAMA DI NUSANTARA

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan. Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian. Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.
KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN
Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.
Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui. Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur. Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.
AKTIVITI
Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau. Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu.
Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.
PENULISAN
Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:
1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.
2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.
3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.
4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis ``... al-Awbah ...'' bukan `` ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian.
Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).
5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.
6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.
7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.
8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.
Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad, Mufti Haji Wan Musa dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya.

SYEIKH WAN ALI KUTAN

GURU PARA ULAMA MELAYU

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RIWAYAT ini masih dalam rangkaian ulama yang mempunyai hubungan dengan pengajian pondok di Sungai Dua, Seberang Perai, Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani yang dipercayai adalah saudara sepupu ulama yang dibicarakan ini. Nasab ke atas sampai kepada nama Wan Abdul Ghafur yang dianggap sahih kerana tercantum dalam salah sebuah karangan Syeikh Wan Ali al-Kalantani. Penyelidikan penulis yang terkini mendapati bahawa ada orang meriwayatkan ayah Wan Abdul Ghafur itu bernama Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Izzuddin. Syeikh Izzuddin ini mempunyai dua nama, yang satu lagi ialah Syeikh Wan Taqiyuddin. Tentang ini masih belum dipandang sahih.
KELUARGA BESAR
Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali.
Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.
KELAHIRAN
Wan Ali bin Wan Abdur Rahman adalah saudara bungsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani.
Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu. Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.
PENDIDIKAN
Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli. Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri kepada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga kepada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.
Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:
1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.
2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.
3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani.
Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.
4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.
6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.
7. Catatan-catatan, masih dalam ben-tuk manuskrip.
Disebabkan kekurangan ruangan, keturunan Syeikh Wan Ali al-Kalantani tidak dapat dimuat dalam artikel ini, insya-Allah akan dibicarakan pada kesempatan dan waktu yang lain.