Sabtu, 31 Januari 2009

SYEIKH WAN ALI KUTAN

GURU PARA ULAMA MELAYU

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RIWAYAT ini masih dalam rangkaian ulama yang mempunyai hubungan dengan pengajian pondok di Sungai Dua, Seberang Perai, Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani yang dipercayai adalah saudara sepupu ulama yang dibicarakan ini. Nasab ke atas sampai kepada nama Wan Abdul Ghafur yang dianggap sahih kerana tercantum dalam salah sebuah karangan Syeikh Wan Ali al-Kalantani. Penyelidikan penulis yang terkini mendapati bahawa ada orang meriwayatkan ayah Wan Abdul Ghafur itu bernama Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Izzuddin. Syeikh Izzuddin ini mempunyai dua nama, yang satu lagi ialah Syeikh Wan Taqiyuddin. Tentang ini masih belum dipandang sahih.
KELUARGA BESAR
Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali.
Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.
KELAHIRAN
Wan Ali bin Wan Abdur Rahman adalah saudara bungsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani.
Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu. Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.
PENDIDIKAN
Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli. Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri kepada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga kepada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.
Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:
1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.
2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.
3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani.
Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.
4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.
6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.
7. Catatan-catatan, masih dalam ben-tuk manuskrip.
Disebabkan kekurangan ruangan, keturunan Syeikh Wan Ali al-Kalantani tidak dapat dimuat dalam artikel ini, insya-Allah akan dibicarakan pada kesempatan dan waktu yang lain.

ABU BAKAR AL-FUNTIANI

ULAMA PENGEMBARA

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DI DALAM ruangan Agama, Utusan Malaysia minggu lalu penulis menyentuh bahawa salah seorang keturunan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani ada yang berkahwin dengan keluarga ulama Pontianak. Tanpa penulis menduga bahawa ulama yang akan diriwayatkan ini pernah menjadi sahabat dan guru kepada orang tua penulis dan mempunyai keluarga di Seberang Perai. Dalam tahun 1949 - 1950 di beberapa pulau di Pulau Tujuh, Kepulauan Riau didatangi oleh seorang ulama besar dari Singapura.Masyarakat menyebutnya Pak Tuan Alim Haji Abu Bakar. Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Ketua Syarikat Al-Ahmadi & Co. Midai dan cawangannya Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura mengarahkan orang tua penulis, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, supaya mengeluarkan dana syarikat itu untuk mendirikan sebuah rumah wakaf sebagai kediaman ulama tersebut. Rumah wakaf tersebut masih ada hingga sekarang. Ia terletak di sebelah kanan Masjid Baiturrahman di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau. Sejak tahun 1950, Pak Tuan Haji Abu Bakar yang berasal dari Pontianak itu mempunyai kesan tersendiri dalam ingatan penulis, sungguhpun penulis lama tinggal di Pontianak namun sedikit sahaja memperoleh data mengenainya. Tokoh yang diriwayatkan ini diperoleh di Seberang Perai dalam rangka menjejaki asal-usul ulama yang berada di kawasan itu, tepatnya pada 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi dan 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Di antara yang terpenting yang diperoleh di Pematang Bertam, bahawa ayah saudara Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Ali bin Haji Muhammad Nur Pontianak meninggalkan keturunan yang ramai di Seberang Perai. Ayah Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur adalah adik beradik kepada Haji Ali bin Haji Muhammad Nur. Adik beradiknya seramai 27 orang yang menetap di banyak tempat di dunia Melayu.
Beberapa orang yang menjadi ulama besar di antaranya akan disentuh serba ringkas dalam artikel ini.
RIWAYAT
Setelah penulis menggabungkan hasil penyelidikan terkini yang diperoleh di Seberang Perai dengan dokumen Riau dan Pontianak yang ada pada penulis, maka dapatlah dipastikan bahawa Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) itu adalah seorang penyandang gelaran Dato' Kaya Lela Pahlawan. Ada pun Haji Muhammad Nur atau Haji Muhammad Nur Putih itu ketika berada di Kemboja bernama Wan Muhammad Daram. Oleh itu nama lengkap ulama yang berasal dari Pontianak yang diriwayatkan ini ialah Haji Abu Bakar bin Dato' Kaya Lela Pahlawan Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jeramat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Qadhi Ahmad. Tuan Qadhi Ahmad, datuk neneknya berasal dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis. Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Setakat ini yang dapat dikesan hanya 10 orang.
SEBAR
Anak-anak beliau ialah:
1. Haji Sulaiman bin Muhammad Nur, beliau menyebarkan Islam di Lombok.
Menurut riwayat, sampai sekarang masih terdapat pondok pesantren yang diasaskannya. Salah seorang anak beliau yang menjadi ulama besar ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani. Beliau menghasilkan beberapa buah karya iaitu Babul Jum'ah, 28 Jamadilawal 1316 Hijrah, cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 Hijrah. Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jum'ati bi Dunil Arba'in, 27 Syawal 1319 Hijrah, cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 Hijrah. Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmis Sharfi, 6 Syawal 1321 Hijrah, cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 16 Safar 1322 Hijrah.
2. Haji Husein bin Muhammad Nur.
3. Haji Shalih bin Muhammad Nur.
4. Haji Ali bin Muhammad Nur, berkahwin dengan Hajah Sa'diyah binti Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, anak-anaknya ialah: Aisyah, Abdur Razaq, Azizah dan Jamil.
5. Hajah Kaltsum binti Muhammad Nur.
6. Haji Abdul Ghani bin Muhammad Nur, anaknya Haji Abu Bakar Pontianak, yang sedang diriwayatkan.
7. Haji Mushthafa bin Muhammad Nur.
8. Haji Abdul Hamid bin Muhammad Nur,
9. Haji Abdul Aziz bin Muhammad Nur, termasuk salah seorang ulama besar Pontianak, menghasilkan di antaranya, Risalah Kitabish Shalah, bulan Zulhijjah 1316 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 6 Safar 1317 Hijrah, dengan huruf batu (litografi). Karyanya yang lain ialah Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam, atau judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya, Persandaran Budak-Budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman dan Islam, 12 Jamadilawal 1325 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, 1325 Hijrah. Dicetak dengan huruf batu (litografi). Dan anak Haji Muhammad Nur Putih yang ke-10. Haji Abdul Wahhab bin Muhammad Nur tinggal di Mekah, tidak pernah pulang ke dunia Melayu sehingga meninggal dunia di sana. Daripada karyanya yang berjudul Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim dapat diketahui nama guru-guru beliau seperti ditulis pada halaman 26, ``Adalah tarhim yang dianjurkan oleh datuk guru kami, al-'Allamah Husein Pontianak'' seperti yang ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan guru kami asy-Syeikh Mukhtar bin `Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami al-'Allamah `Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Syeikh `Abdul Qadir (bin Shabir] Mandailing, dan asy-Syeikh Ahmad Khathib Min[ang]kabau. (Syeikh) Husein (bin) Sulaiman ini hafiz al-Quran, cantik parasnya, al-'amil ash-shalih. Ia mengambil ilmu daripada ulama Mekah al-Musyarrafah, seperti: (Syeikh Sayid) Husein al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim daripadanya, berkata guru kami asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) Mandailing, ``Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar di Masjid al-Haram pada waktu Daulah al-'Utsmaniyah itu. Asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) berkata bagiku''.
PENGETAHUAN
Daripada beberapa maklumat dapat dipastikan bahawa Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani (Pontianak) yang tersebut dalam tulisan di atas adalah saudara sepupu beliau sendiri, kerana sama-sama cucu kepada Haji Muhammad Nur Putih. Oleh itu dapat dipercayai bahawa Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani lebih banyak memperoleh pengetahuan daripadanya jika dibandingkan dengan ulama-ulama lainnya. Walaupun kedua-duanya saudara sepupu tetapi umur Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani jauh lebih tua daripada Haji Abu Bakar kerana Haji Sulaiman (ayah Syeikh Husein) adalah anak daripada isteri pertama Haji Muhammad Nur Putih. Sedangkan Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) adalah anak Haji Muhammad Nur Putih daripada isteri beliau yang kemudiannya.Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/ Natuna.Barangkali sudah jadi sebati dengan keperibadiannya bahawa Tuan Guru Haji Abu Bakar mengajar dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Pada akhir hayatnya atau beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia beliau mengajar di beberapa kampung di Seberang Perai dan sekitarnya.
1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi Tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan pada 1 Jamadilakhir 1375 Hijrah/14 Januari 1956 Masihi. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai aspek tajwid al-Quran, termasuk perbandingan beberapa qiraah. Cetakan yang pertama oleh Al- Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura, 1377 Hijrah.
2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Syawal 1359 Hijrah. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan.
Cetakan pertama, Mathba'ah al-'Umariyah, 768, North Bird Road, Singapura, 1359 Hijrah.
3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim, judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam Al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim, diselesaikan malam Sabtu, jam 12.20, 2 Zulhijjah 1379 Hijrah/28 Mei 1960 Masihi. Kandungannya membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang terawih. Selain itu terdapat beberapa amalan lainnya seperti ayat lima, selawat Syeikh Ahmad al-Badawi. Cetakan yang pertama Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 Hijrah.
PENUTUP
Demikianlah riwayat Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani, yang meninggal dunia di Singapura pada tahun 1967 Masihi. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan saya berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang hadir menziarahinya, sama ada jenazah masih di rumah mahu pun hingga menghantar ke perkuburannya. Sebagai penutup artikel ini penulis berpendapat bahawa: ``Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang adil supaya kebaikan dapat dikekalkan. Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang zalim untuk memberi nasihat terhadap mereka. Ulama perlu dekat kepada hartawan yang bertakwa dan dermawan untuk memudahkan pembiayaan pendidikan dan dakwah Islam. Ulama perlu dekat kepada orang miskin supaya timbul rasa belas kasihan. Ulama perlu dekat kepada sesama ulama supaya dapat bermuzakarah dan menambah ilmu pengetahuan. Ulama perlu dekat kepada orang yang jahil supaya dapat memberi pendidikan Islam terhadap mereka. Mudah-mudahan kita tetap berpandangan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah insan Muslim, mukmin, ahlul Makrifatullah yang bertakwa kepada Allah s.w.t., bukan lainnya

SYEIKH ISMAIL AL-ASYI

KETUA MAHASISWA MELAYU PERTAMA DI MESIR

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PENYELIDIKAN pertama terhadap ulama yang berasal dari Acheh ini dimulai dengan pengesanan artikel-artikel karya beberapa orang ulama yang beliau kumpulkan dalam satu kitab yang cukup terkenal di dunia Melayu yang diberi judul olehnya ``Jam'u Jawami'il Mushannafat''. Selain itu juga kitab yang diberi judul oleh beliau dengan ``Tajul Muluk''. Setelah itu dijumpai pelbagai judul karya beliau sendiri dan beberapa buah kitab yang ditashhihnya.
GALAKKAN
Dalam fail surat Syeikh Ahmad al-Fathani 1323 Hijrah - 1325 Hijrah dijumpai beberapa lembar surat Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mekah, kepada Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi di Kaherah, Mesir. Dari surat- surat itu dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi itu adalah termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi Ketua Pelajar-Pelajar Melayu di Kaherah, sedang Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dilantiknya sebagai Ketua Pelajar Putera Diraja Riau di Kaherah juga. Dipercayai bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi adalah sebagai Ketua Pelajar Melayu di Kaherah yang pertama sekali. Ada pun perintis jalan orang Melayu yang pertama belajar di Masjid Al-Azhar ialah Syeikh Ahmad al-Fathani (tahun 1292 Hijrah sampai 1299 Hijrah). Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah beliau menggalakkan murid-muridnya belajar di Mesir terutama sekali di Al-Azhar. Maka sangat ramai pelajar kita yang berasal dari dunia Melayu pergi ke Mesir itu. Selain Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Minangkabau termasuk peringkat awal ke Mesir juga di antaranya ialah: Syeikh Ahmad Tahir Khathib Kerue (Lampung), Syeikh `Abdur Razzaq bin Muhammad Rais Lampung, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, dan ramai lagi.
PENDIDIKAN
Pendidikan asas di Acheh tidak dapat diketahui secara pasti. Dari tulisannya sendiri yang termaktub dalam cetakan Zahratul Murid karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani, beliau menyebut, ``Adapun silsilah haqir Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi, maka telah mengambil talqin zikir dan bai'ah daripada Syeikh Muhammad `Ali. Ia mengambil daripada Syeikh Muhammad As'ad. Ia mengambil daripada Syeikh Sa'id....'', dan seterusnya sama dengan silsilah Thariqat Syathariyah versi Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Tidak jelas ``Syeikh `Ali'' yang disebutkannya dalam silsilah itu, apakah berasal dari Acheh atau tempat lainnya. Yang menjadi kemusykilan ialah bahawa apabila kita semak bererti ``Syeikh `Ali'' itu seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kerana Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani juga menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Muhammad As'ad itu.Syeikh `Ali al-Asyi adalah ulama Acheh yang seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Syeikh `Ali al-Asyi lebih muda dari Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kemungkinan beliau berumur panjang sehingga Syeikh Ismail al-Asyi sempat menerima thariqat daripadanya. Sebaliknya Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sempat bertemu dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, yang menjadi murid ulama Patani itu ialah Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (ayah beliau).
PENTASHHIH KARYA ACHEH
Sumbangan yang besar Syeikh Ismail al-Asyi ialah mentashhih kitab-kitab karya ulama Acheh. Beliau adalah orang yang pertama memberi catatan nota beberapa kosa kata dari bahasa Acheh diberikan maknanya ke bahasa Melayu yang umum digunakan pada masa itu. Jadi bererti aktiviti tashhih kitab Melayu/Jawi yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu, bahagian penelitian bahasa Acheh ditangani oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Syeikh Ismail al-Asyi mulai melibatkan diri dalam usaha Syeikh Ahmad al-Fathani itu sejak permulaan lagi, bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, ketiga-tiganya merupakan orang kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam semua permasalahan tashhih. Kitab-kitab yang ditashhih oleh Syeikh Ismail al-Asyi pada peringkat awal dikumpulkan dalam Jam'u Jawami'il Mushannafat ialah:
1. Hidayatul `Awam karya Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin Acheh.2. Faraidh al-Quran, tanpa nama pengarang.3. Kasyful Kiram karya Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.4. Talkhishul Falah karya Syeikh Muhammad Zain5. Syifaul Qulub karya `Arif Billah Syeikh `Abdullah Acheh.6. Mawaizhul Badi'ah karya Syeikh `Abdur Rauf Fansuri7. Dawaul Qulub karya Syeikh Muhammad bin Syeikh Khathib Langien.8. I'lamul Muttaqin karya Syeikh Jamaluddin bin Syeikh `Abdullah.
Cetakan awal kitab di atas diusahakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Halaman terakhir cetakan ke lapan, 1320 H/1902 M disebutkan bahawa pada cetakan itu ditambah dua naskhah lagi iaitu, Fathul `Arifin, Paal Kamalullah dan Paal Nabi S.A.W. Syeikh Ismail al-Asyi mencatatkan, ``... dan ditashhihkan dengan cermat dan ditaruhkan pula pada tepinya hasyiah yakni tafsir kalam yang payah jadi mudah''. Maksudnya bahawa beliau memberi nota bahasa Acheh disesuaikan dengan maknanya dengan bahasa Melayu, dan memberikan huraian pada kalimat yang tidak jelas. Pada cetakan yang kemudian dari cetakan tersebut terdapat puisi Syeikh Ismail al-Asyi 18 bait yang terdiri dari dua rangkap-dua rangkap. Kitab yang diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi itu mendapat sambutan masyarakat luas di dunia Melayu, sampai sekarang masih banyak diajar dan masih mudah mendapatkannya di kedai-kedai kitab.Dalam kitab yang berjudul Tajul Muluk terkumpul pula beberapa buah karangan, juga diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Cetakan awal yang telah ditemui ialah yang diusahakan oleh Mathba'ah al- Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Pada mukadimah Tajul Muluk terdapat 34 bait puisi Syeikh Ismail al-Asyi yang terdiri dua rangkap-dua rangkap. Syeikh Ismail al-Asyi memulakan kumpulan Tajul Muluk dengan karya Syeikh `Abbas al-Asyi yang berjudul Sirajuz Zhalam, yang membicarakan ilmu hisab dan falakiyah. Pada akhir kitab Sirajuz Zhalam karya Syeikh `Abbas al-Asyi, Syeikh Ismail al-Asyi mencatat, ``Maka telah selesai hamba salin kitab ini dalam negeri Mekah yang Musyarrafah pada masa hijrah Nabi S.A.W 1306 tahun, pada hari Sabtu, pada 28 hari bulan Rabiulawal ... `` Kitab terakhir dalam Tajul Muluk ialah yang berjudul Hidayatul Mukhtar karya Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani.
MANUSKRIP
Sebuah karya Syeikh `Abdus Shamad bin `Abdur Rahman al-Falimbani yang berjudul Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang sebelumnya hanya ditemui manuskripnya saja, dalam bulan April 1993 saya temui cetakannya, pada halaman terakhir terdapat silsilah Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi dan beliau juga menyalin silsilah Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Syathariyah Syeikh `Abdur Rauf al-Fansuri, ditashhihkan oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani. Saya berkesimpulan bahawa kitab Zahratul Murid karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani itu diusahakan bersama-sama Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah Makkah, 1331 Hijrah/1912 Masehi.
KARYA DAN PEMIKIRAN
Selain karya yang bercorak tashhih seperti tersebut di atas, Syeikh Ismail al-Asyi juga menghasilkan karya sendiri, di antaranya yang telah ditemui ialah:
1. Muqaddimatul Mubtadi-in, diselesaikan pada hari Rabu, 30 Safar, di Mekah, tanpa menyebut tahun. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1307 Hijrah/1889 Masehi. Pada halaman tercantum 19 bait puisi beliau yang terdiri dua rangkap-dua rangkap.
2. Tuhfatul Ikhwan fi Tajwidil Quran, diselesaikan pada waktu Dhuha hari Jumaat dua likur Jamadilawal 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Terdapat lagi cetakan Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1324 Hijrah/1906 Masehi.
3. Fat-hul Mannan fi Bayani Ma'na Asma-illahil Mannan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 Hijrah/1893 Masehi.
4. Fat-hul Mannan fi Hadits Afdhal Waladi `Adnan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893 Masehi. Hanya diketemukan cetakan Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, 1379 Hijrah/1960 Masehi yang diusahakan oleh Haji Muhammad bin Ahmad, Kampung Gong, Kelantan, dengan catatan, ``Dengan izin waris pengarangnya dan anak muridnya yang di Mekah al-Mukarramah pada tahun hijrah 1377.''
Kesimpulan bahawa karya Syeikh Ismail al-Asyi meliputi beberapa disiplin ilmu, ialah `aqidah (Muqaddimatul Mubtadi-in), tajwid (Tuhfatul Ikhwan), hikmah dan fadhail (Fat-hul Mannan, nombor 3), hadis (Fat-hul Mannan, nombor 4), bahasa (pada kitab-kitab yang ditashhihnya) dan sastera (puisi), yang berbentuk syair dua rangkap-dua rangkap. Syair yang digubahnya dalam bahasa Melayu memang indah susunan bahasanya, tetapi sayang kadang-kadang bercampur dengan bahasa Acheh yang sukar dimengerti oleh masyarakat dunia Melayu umumnya.
Contoh beberapa bait syair Syeikh Ismail al-Asyi, ialah:
``Wahai ikhwan yang Muslimin,orang yang yakin akan Rabbana,Karangan ini intan ku karang,segala maknikam himpun di sana.''(Jam'u Jawami'il Mushannafat)``Barangsiapa tiada makrifat,segala ibadat tiada guna.Kitab ini baik sekali,makrifat Rabbi di sini nyata.''(Muqaddimatul Mubtadi-in)
KETURUNAN
Keturunan Syeikh Ismail al-Asyi ramai di Mekah, mengenai ini dapat diketahui di antaranya tercatat dalam kitab Durrul Faraid karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 H/1893 M, tertulis, ``Maka orang yang empunya kitab ini Tuan Haji Ahmad anak Tuan Syeikh Ismail anak Tuan `Abdul Muthallib al-Asyi ... Dia duduk di muka pintu, di dalam Maq'ad, di sanalah empunya kitab ini.'' Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi meninggal dunia di Kaherah, Mesir, demikian tersebut dalam buku Student Indonesia di Mesir.

MUHAMMAD SA'ID UMAR KEDAH

PENGARANG TAFSIR NUR AL-IHSAN

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

JIKA kita teliti penulisan pelbagai ilmu pengetahuan Islam zaman klasik yang menggunakan tulisan Melayu/Jawi di dunia Melayu, maka penterjemahan dan pentafsiran al-Quran secara lengkap tiga puluh juzuk adalah termasuk dalam kategori yang paling sedikit dilakukan oleh ulama kita. Terjemahan dan tafsir al-Quran klasik yang lengkap tiga puluh juzuk yang tersebar menggunakan media cetak hanya dua buah saja, iaitu Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri (abad ke 16-17 M), dan yang sebuah lagi ialah Tafsir Nur al-Ihsan oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Umar yang berasal dari Kedah.Biografi ulama yang berasal dari Kedah ini belum pernah ditulis orang, oleh itu dalam artikel ini akan membicarakan tentang beliau terutama tentang dua buah karangannya; Fatawa al-Qad-hi fi Ahkam an-Nikah dan Tafsir Nur al-Ihsan. Hendaklah diperhatikan bahawa pada zaman yang sama di Kedah terdapat dua orang yang bernama serupa, yang pertama ialah Muhammad Sa'id Yan, yang telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia pada hari Isnin, 19 Julai 2004. Yang seorang lagi ialah ulama yang dibicarakan ini.
TAFSIR
Dalam Fatawa al-Qad-hi beliau menggunakan nama Muhammad Sa'id bin Umar Khathib. Dalam Tafsir Nur al-Ihsan pula beliau menggunakan nama lengkap dengan keterangannya iaitu Sa'id bin Umar al-Qad-hi Baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan. Nama lain yang diletakkan orang pada halaman depan Tafsir Nur al-Ihsan ialah Al-'Alim Al-Fadhil Al-Haji Muhammad Sa'id bin Umar Qadhi Jitra Kedah.Yang dimaksudkan dengan al-Qad-hi Baladan, ialah negeri asalnya ialah Kedah. Jawatan beliau pula ialah al-Qadhi Syar'iyan, maksudnya ialah sebagai Kadi Syar'ie di Jitra. Beliau mengaku pula asy-Syafi'ie Mazhaban, maksudnya bermazhabkan Mazhab Syafi'ie. Dengan jelas diakuinya pula an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, iaitu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah. Thariqat Naqsyabandiyah aliran ini dinamakan Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhhariyah kerana berpegang dengan Mujaddidnya yang bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Ada lagi yang dinamakan Naqsyabandiyah al-Khalidiyah kerana berpegang dengan Mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi. Kedua-dua Thariqat Naqsyabandi yang tersebut diamalkan oleh ramai ulama di seluruh dunia termasuk ulama di dunia Melayu juga. Oleh itu tuduhan melulu yang mengatakan ``semua thariqat adalah sesat'' adalah tidak berasas sama sekali.
LAHIR DAN PENDIDIKAN
Ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar lahir sekitar tahun 1270 H/1854 M di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah. Dan wafat pada tahun 1351 H/1932 M. Walau bagaimana pun penulis masih ragu dengan tahun kelahiran yang diriwayatkan itu, kerana berdasarkan tulisan beliau sendiri pada penutup Tafsir Nur al-Ihsan, juzuk keempat, ada menyebut bahawa Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh al-Islam Kedah, adalah guru beliau. Sedangkan Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh al-Islam Kedah, yang lahir 1291 H/1874 M bererti lebih muda daripada Haji Muhammad Sa'id bin Umar sekitar 20 tahun.Mengenai pendidikannya pula ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Patani, sempat belajar kepada pengasasnya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya pertama), tetapi yang lebih banyak beliau belajar ialah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2). Memperhatikan riwayat ini berertilah Haji Muhammad Sa'id bin Umar seangkatan dengan Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih terkenal sebutan di Kedah dengan ``Cik Doi @ Cik Dol'', iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Husein Cik Doi, Tok Kelaba dan ramai lagi. Haji Muhammad Sa'id bin Umar juga melanjutkan pendidikannya di Mekah seperti ulama-ulama lainnya.
PENULISAN
Hanya dua judul karangan Haji Muhammad Sa'id bin Umar Kedah yang telah diketahui, judul yang pertama ialah Fatawal Qad-hi fi Ahkam an-Nikah. Judul ini bermaksud Fatwa-Fatwa Kerajaan Kedah Tentang Hukum-Hukum Nikah Kahwin, diselesaikan di Negeri Kedah Darul Aman, hari Khamis, 25 Syaaban 1320 H (27 November 1902 M, pen:), Kandungannya membicarakan pelbagai aspek tentang nikah kahwin.Dinyatakan pada muqaddimah, ``Ada pun kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun dua puluh, kemudian daripada seribu dan tiga ratus daripada Hijrah (1320 H, pen:) telah bertitah akan hamba oleh Sultan yang mu'azzam dan haqqan, yang mukarram, yang me[ng]hamburkan panji-panji keadilan atas segala rakyatnya, iaitu Maulana Sultan Abdul Hamid Halim Syah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Yang Maha Mulia, yang khalifah ia pada melakukan hukum Tuhannya Yang Mannan pada Negeri Kedah Darul Aman.
QAHIRAH
Telah dikekal oleh Allah s.w.t. kiranya akan daulatnya yang qahirah. Dan [di]tinggikan kiranya akan martabatnya di dalam dunia dan akhirat. Dan dipeliharakan kiranya daripada segala seterunya zahir dan batin. Dan dipalingkan kiranya daripadanya kejahatan tiap-tiap yang mempunyai hasad pada sekarang dan ke hadapan ...``. Pada akhir karangan dinyatakan, ``Maka telah selesailah barang yang dikashad oleh faqir ilallahil qarib Muhammad Sa'id bin Umar Khatib daripada mentaswidkan Fatawa Kedah pada menyatakan masalah nikah, dan talaq, dan raj'ah, dan diyat, dan hudud, dan qadha, atas jalan ikhtishar pada hari Khamis, dua puluh lima Syaaban di dalam negeri Kedah Darul Aman tahun seribu tiga ratus dua puluh. Serta faqir hantar kepada Tuan Haji Ahmad Hakim bin Tuan Haji Muhammad Zain, dan Tuan Haji Idris bin Tuan Jamal, dan Tuan Haji Muhammad Amin bin Tuan Ismail, Anak Bukit, pintak ipa tashhihkan. Maka sudahlah ipa tashhih ... `` Dicetak oleh Mathba' tempat cetak Kerajaan Kedah, Alor Setar, pada 7 Syaban 1348 H.Tafsir Nur al-Ihsan merupakan terjemah dan tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang lengkap tiga puluh juzuk, ia merupakan yang kedua sesudah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi. Penulisan dilakukan mulai tahun 1344 H/1925/6 M dan selesai pada 1 Rabiulakhir 1346 H/27 September 1927 M. Terdiri daripada empat juzuk.
Juzuk yang pertama, mulai surah al-Fatihah hingga surah al-Maidah. Tebal 296 halaman. Juzuk yang kedua, mulai surah al-An'am hingga surah al-Isra'. Tebal 429 halaman. Juzuk yang ketiga, mulai surah al-Kahfi hingga surah az-Zumar. Tebalnya 432 halaman.Pada juzuk yang ketiga ini ada dinyatakan selesai menulis pada hari Isnin, 27 Zulhijjah 1345 H. Juzuk yang keempat, mulai surah al-Mu'min hingga surah an-Nas. Diselesaikan 1 Rabiulakhir 1346 H. Tebal 387 halaman.Pada akhir Tafsir Nur al-Ihsan, Haji Muhammad Sa'id bin Umar menyatakan, ``Telah selesailah bi `aunillah wa husnit taufiq daripada mentaswid Tafsir Nur al-Ihsan ini oleh faqir ilallahi Subhanahu wa Ta'ala Sa'id bin Umar al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan, pada pagi hari Arba', sehari bulan Rabi'uts Tsani, tahun seribu tiga ratus empat puluh enam, zaman Hadhrat Maulana Al-Mu'azzam Sultan `Abdul Hamid Halim Syah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Negeri Kedah Darul Aman, dan hadhra najal (anak laki-laki, pen:)nya Maulana Al-Mu'azzam Tunku Ibrahim Raihin Banghasa, dan hadhrat syaqiq (saudara laki-laki, pen:) nya Maulana Tunku Mahmud Wais Presiden. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.Maka barang yang didapati berbetulan itu, maka itu daripada Allah kurnia-Nya. Dan yang khatha' (salah, pen:) atau silap qalam itu daripada hamba taqshirnya, diharap tolong perbetul kemudian daripada im'an an-nazhar. Mudah-mudahan dapat manfaat dan dapat ketahui kehendak Allah dalam al-Quran oleh ahli membaca daripada perempuan, dan kanak-kanak sekolah yang membawa jadi tauhid Allah yang melepas daripada kaum asyqiya' (orang-orang yang celaka, pen:) masuk kepada kaum su'ada' (orang-orang yang bahagia, pen:) yang dapat bahagia selama-lamanya ... `` Dari kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa penterjemahan dan pentafsiran al-Quran yang dilakukan oleh Haji Muhammad Sa'id bin Umar ada kaitannya dengan pihak istana kerajaan Kedah Darul Aman ketika itu. Semua juzuk cetakan pertama Tafsir Nur al-Ihsan dicetak Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir 1349 H. Dinyatakan hak mencetak tertentu bagi Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, guru agama Alor Setar, Kedah. Cetakan pertama dengan nafqah Haji Muhammad bin Muhammad Ali Rawa.
PERBANDINGAN
Untuk mengetahui gaya bahasa, terjemah dan tafsir al-Quran menurut Melayu klasik di sini penulis kemukakan contoh satu ayat dalam surah Muhammad, ayat 22 berdasarkan terjemah dua orang ulama, yang terdahulu dan dibandingkan dengan Tafsir Nur al-Ihsan. Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dalam Turjuman al-Mustafid, terjemahannya, ``Maka mudah-mudahan kamu, jika berpaling kamu daripada iman, bahawa binasa di dalam bumi, dan kembali kamu kepada pekerjaan jahiliah daripada derhaka dan membunuh, dan kamu putuskan daripada berkasih-kasih dengan segala kerabat kamu'' (ayat 22). Terjemah Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Bisyarah al-'Amilin, ``Maka hampir kamu, jikalau berpaling kamu daripada iman, bahawa membinasa kamu di dalam bumi, dan memutus kamu akan segala rahim kamu.''
Terjemah
Kedua-dua contoh di atas lebih bercorak terjemah, sedang Haji Muhammad Sa'id Kedah dalam Tafsir Nur al-Ihsan, lebih bercorak tafsir, ialah ``Maka adakah barangkali kamu, jika kamu berpaling daripada iman atau perang itu, bahawa kamu berbuat fasid dalam bumi, dengan binasa tanaman dan bunuh anak-anak lembu, dan kamu putus rahim kamu, dengan balik pada kerjaan jahiliah daripada zalim dan bunuh orang''. Perkataan atau kalimat yang bercorak tafsir dalam Nur al-Ihsan ialah, ``atau perang itu'', ``dengan binasa tanaman dan bunuh anak-anak lembu'', ``dengan balik pada pekerjaan jahiliah daripada zalim dan bunuh orang''.Ketiga-tiga ulama di atas dalam menterjemahkan perkataan ``in tawallaitum'', kepada bahasa Melayu adalah sama, ialah ``jika kamu berpaling daripada iman'', tetapi berbeza dengan kebanyakan terjemahan al-Quran sekarang, ialah ``jika kamu berkuasa''.Kedua-duanya adalah terjemahan yang betul, penulis lebih dapat menerima terjemahan Melayu lama kerana seseorang ``jika berkuasa'' belum tentu ``membuat kerosakan di bumi dan memutuskan rahim'', tetapi apabila seseorang ``jika berpaling daripada iman'' ertinya ``tidak beriman'' golongan inilah yang melakukan pelbagai ``kerosakan di bumi dan tiada kasih sayang sesama manusia''. Fenomena keganasan, peperangan, dan pembunuhan sesama manusia yang terjadi di dunia sekarang ini adalah dilakukan oleh ``orang-orang yang sedang berkuasa yang tiada beriman''.

SYEIKH ABDUL QADIR AL-FATHANI

TOK BENDANG DAYA II

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA Tok Bendang Daya pada satu ketika dulu cukup popular bagi masyarakat Patani, Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu dan lain-lain. Walau bagaimanapun orang jarang dapat membezakan siapakah sebenarnya Tok Bendang Daya itu. Tok Bendang Daya sebenarnya ada dua orang, iaitu Tok Bendang Daya I, beliau ialah Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Yang seorang lagi ialah Tok Bendang Daya II, beliau ialah Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, iaitu anak kepada Tok Bendang Daya I yang tersebut. Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) adalah salah seorang panglima atau hulubalang Fathani Darus Salam, juga sebagai pengasas Pondok Pengajian Bendang Daya. Pondok tersebut kemudian menjadi pondok pengajian yang paling banyak pelajarnya di dunia Melayu setelah dipimpin oleh anak beliau, iaitu Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Memang pada zaman itu sistem pengajian pondok di Patani paling menonjol dari tempat-tempat lainnya di dunia Melayu. Oleh itu pelajar-pelajarnya berdatangan daripada berbagai-bagai tempat di dunia Melayu.
TERKENAL
Yang sangat menarik tentang sejarah hidup ulama ini bahawa sangat ramai muridnya yang membuka pondok di tempat-tempat lain di dunia Melayu, ramai juga yang menjadi tokoh-tokoh besar terkenal dalam masyarakat, ditambah lagi dua orang anak beliau yang menjadi ulama besar yang terkenal. Kedua-duanya ialah Syeikh Wan Ismail al-Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak De El Makkah dan yang seorang lagi ialah Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak Cu Him Kedah. Aktiviti Pak De El mengajar di Mekah menjadi pakar rujuk ulama-ulama dunia Melayu pada zamannya terutama dalam bidang akidah dan ilmu-ilmu `Arabiyah. Pak Cu Him pula terkenal dengan Pondok Gajah Mati di Kedah. Pendek kata kedua-dua ulama itu masih banyak diperkatakan orang, kerana sampai artikel ini saya tulis masih ramai murid kedua-duanya yang masih hidup, bahkan beberapa orang di antara mereka masih aktif dalam pelbagai bidang keIslaman.
PENDIDIKAN DAN AKTIVITI
Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) yang lahir di Sena Janjar tahun 1234 H/1817 M adalah adik kepada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (1233 H/1817M - 1325 H/1908 M). Sejak kecil lagi Abdul Qadir dididik oleh ayah dan ibunya menghafal berbagai-bagai matan terutama matan ilmu tauhid, nahu dan saraf. Seiringan dengan itu ditekankan menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang dipandang sebagai asas untuk membolehkannya meningkat lebih maju pada masa-masa akan datang. Oleh sebab Pondok Bendang Daya yang dipimpin sendiri oleh ayahnya Syeikh Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dipandang sebagai pondok yang berautoriti pada zaman itu, maka dipercayai Syeikh Abdul Qadir al-Fathani tidak belajar ke pondok-pondok lainnya. Walau bagaimanapun beliau hanya pergi menziarahi beberapa pondok terkenal yang masih masuk keluarga Sena, iaitu Pondok Teluk Manuk, Pondok Wadi Husien, Pondok Cenak dan Pondok Pauh Bok. Pondok- pondok tersebut letaknya sangat berjauhan. Pada zaman itu perjalanan ditempuh dengan berjalan kaki dan masih melalui hutan tebal. Sekurang-kurangnya dalam dua tahun sekali acara ziarah mesti dilakukan kerana untuk mendekatkan hubungan kekeluargaan dan informasi dalam berbagai-bagai hal dan peristiwa. Perkara-perkara yang tersebut di atas sangat ditekankan oleh Syeikh Wan Mustafa al-Fathani, hal ini selain beliau sebagai bekas hulubalang Fathani Darus Salam, beliau juga dipandang sebagai orang tua dan berpengaruh di kalangan keluarga besar Sena dan Bendang Daya di mana saja mereka berada. Sebaliknya dari pondok-pondok yang tersebut hampir setiap bulan ada saja utusan ke Pondok Bendang Daya.
MENGIRIM
Oleh sebab Syeikh Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) memandang kedua-dua orang anaknya; Wan Muhammad Zain dan Wan Abdul Qadir sudah cukup memadai ilmu-ilmu yang diterima langsung daripadanya, maka beliau mengirim kedua-dua anaknya itu ke Mekah. Dipercayai kedua-dua orang anak beliau itu sempat belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, walaupun tidak begitu lama namun melebihi lima tahun. Pada tahun-tahun terakhir Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sibuk dengan penulisannya. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar juga kepada beberapa ulama lain, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Kedua-dua ulama berbangsa Arab itu usianya hanya lebih beberapa tahun daripada beliau.Atas kehendak kedua-dua ulama yang besar pengaruhnya di Mekah ketika itu, Syeikh Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani diminta mengajar di Masjidil Haram dan di rumahnya sendiri. Dalam masa belajar dan mengajar itulah beliau bersahabat dengan ulama-ulama yang berasal dari tanah Jawi (dunia Melayu) lainnya, di antara mereka ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dan lain-lain. Sama ada kepada Syeikh Nawawi al-Bantani mahupun Syeikh Wan Ali al-Kalantani, terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir.Oleh sebab ayahnya, Syeikh Mustafa (Tok Bendang Daya I) memikirkan bahawa kedua-dua anaknya sudah cukup lama belajar di Mekah, sedangkan anaknya yang bernama Wan Abdul Lathif dirasakan perlu pula mendalami ilmunya di Mekah, maka beliau memanggil kedua-dua anaknya supaya kembali ke Jawi untuk memimpin Pondok Bendang Daya. Tok Bendang Daya I bersama anaknya Abdul Lathif berangkat ke Mekah, alangkah terkejut dan gembiranya beliau setelah sampai di Mekah kerana baru diketahuinya kedua-dua anaknya telah dibenarkan mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Selama ini beliau tidak mendengar khabar itu, disangkanya kedua-dua anaknya itu hanyalah sebagai pelajar saja.
AKTIVITI DI PONDOK BENDANG DAYA
Setelah Tok Bendang Daya I memandang bahawa anaknya Abdul Qadir lebih tinggi nilai keulamaannya daripada Muhammad Zain, maka beliau menyerahkan kepercayaan untuk memimpin Pondok Bendang Daya itu kepada Abdul Qadir. Syeikh Abdul Qadir mengevaluasi sistem pengajian pondok pada keseluruhan sektornya, dari sehari ke sehari Pondok Bendang Daya bertambah terkenal, nama beliau sendiri menjadi harum ke seluruh tanah Patani, ke seluruh tanah semenanjung Melayu, bahkan hingga ke peringkat sejagat dunia Melayu yang membentang demikian luasnya. Berduyun-duyun orang datang menghantar anakmereka memasuki Pondok Bendang Daya itu.Seluruh waktu beliau digunakan untuk mengajar, dimulai dari sesudah sembahyang Subuh hingga istirahat sekitar jam 11.00. Sesudah Zuhur pelajaran disambung lagi hingga waktu Asar. Sesudah Asar merupakan jam istirahat bagi Tok Bendang Daya II, waktu itulah digunakan untuk bersukan. Tetapi sukannya bukan seperti sekarang, sukannya digunakannya untuk menanam sirih dan menyiram tanaman sirih yang telah hidup. Dalam waktu yang sama digunakan juga untuk menternak lembu. Dalam kedua-dua pekerjaan itu beliau sekali-kali tidak membenarkan murid-murid menolongnya, kerana pekerjaan itu dianggap untuk mengeluarkan peluh menjaga kesihatannya.
BERWIBAWA
Tok Bendang Daya II adalah seorang tok guru pondok yang berwibawa kerana sangat banyak keramatnya yang nyata. Doanya sangat dikabulkan Allah. Menurut riwayat, pada suatu malam bulan Ramadan beliau juga pernah mendapat Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya sebagaimana yang berlaku terhadap ayahnya. Ketika itulah beliau berdoa, meminta dalam tujuh keturunannya mesti ada yang menjadi ulama. Salah satu di antara keramatnya, jika orang akan menyabung ayam ataupun berlaga lembu/kerbau, melalui kawasan rumahnya ataupun kira-kira masih kelihatan bumbung rumahnya, maka orang yang menyabung ataupun berlaga itu tidak akan menang. Bahkan pelaku pekerjaan itu akan ditimpa pelbagai musibah. Apa saja jenis bunyi-bunyian seumpama gendang, gong dan lain-lain, jika dibunyikan, kedengaran di rumahnya ataupun di kawasan Pondok Bendang Daya, nescaya alat bunyi-bunyian itu akan pecah ataupun rosak. Oleh hal-hal yang tersebut itulah bagaimana jahatdan bengisnya manusia pada zaman itu tidak berani membantah, apatah lagi berbuat jahat kepada Tok Bendang Daya II itu. Di manakah letaknya rahsia kehebatan Tok Bendang Daya II itu, mudah saja jawabnya, bahawa tiada lain hanyalah ketaqwaannya kepada Allah jua segala peristiwa keredhaan Allah boleh berlaku. Allahlah yang mengurniakan kekeramatan yang dikehendaki-Nya.
KARYA-KARYA
Tok Bendang Daya II banyak meninggalkan karangan, selain itu juga kegiatannya dalam penyalinan pelbagai kitab yang dikarang oleh ulama-ulama yang terdahulu daripadanya. Di antara karyanya yang sempat disalin dan ditahqiqkan oleh muridnya Tok Kelaba ialah Syarabatul Washilin al-Muflihinal Maqbulin, tarikh salinan tahun 1314 H/1896 M. Pada manuskrip kitab ini Tok Kelaba menyebut bahawa Tok Bendang Daya II itu adalah seorang al-'Arif ar-Rabbani, iaitu seorang yang telah mencapai martabat `Wali Allah'. Sebutan yang sama juga pernah beliau tulis di bahagian kulit luar karyanya, Hidayatus Sail fi Bayanil Masail. Manuskrip tersebut menjadi milik penulis, keadaan manuskrip uzur sekali. Pada saya juga terdapat sebuah manuskrip Tok Bendang Daya II yang membicarakan tasawuf dan kumpulan amalan-amalan ilmu hikmah karangan beliau. Manuskrip yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Oleh sebab karangan-karangan beliau ada yang tinggal di Bendang Daya yang tidak teruruskan, ada juga yang dibawa ke Mekah oleh saudara kandungnya Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, dan oleh anaknya Syeikh Ismail al-Fathani sehingga karangan-karangan beliau banyak belum diketahui. Pengumpulan ke arah menyelamatkannya sedang saya jalankan.
MENINGGAL DUNIA
Tok Kelaba mencatat tahun meninggal dunia gurunya Tok Bendang Daya II di dalam karyanya Hidayatus Sail fi Bayanil Masail, ``Diwafatkan dia pada Mekah al-Mukarramah pada tahun seribu tiga ratus sepuluh dua (1312 H, pen) dari Hijrah Nabi s.a.w. pada hari Ahad enam belas hari bulan Zulhijjah. Syahid akhirat, dengan sebab sakit muntah jerah, kadar sehari semalam. Dikuburkan dia pada penjiratan Ma'ala di hilir kubur Saiyidatina Khadijah al-Kubra, zaujah (isteri, pen:) Saiyidina al-Mustafa Muhammad s.a.w., 1312 H'' (1894 M, pen). Adalah kepergian beliau ke Mekah pada tahun yang tersebut kerana menjunjung perintah Sultan Fathani Darus Salam untuk menghajikan beberapa orang keluarga Diraja Fathani Darus Salam. Daripada lima orang anaknya, tiga lelaki dan dua perempuan, Tok Bendang Daya II telah menurunkan zuriat yang ramai. Di antara mereka ramai yang menjadi ulama besar dan tokoh masyarakat yang bertebaran di pelbagai negara.

SYEIKH ABDUL LATHIF AL-FATHANI

SEBAR ISLAM DENGAN SENI LAGU AL-QURAN

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SYEIKH Wan Abdul Lathif adalah putera Tok Bendang Daya I (Hulubalang Syeikh Wan Mustafa al-Fathani). Beliau dilahirkan dalam suasana perang atau pencerobohan bangsa Siam terhadap kerajaan Fathani Darus Salam dan Kedah tahun 1235 Hijrah/1819-20 Masihi. Perang yang berlanjutan belasan tahun itu akhirnya menyebabkan Patani mengalami kekalahan sehingga ramai keluarga ini dan umat Islam Patani lainnya ditangkap, diseksa dan dibawa ke Bangkok.Di antara mereka ada yang diseret berjalan kaki dari Patani ke Bangkok dan ada pula yang dibawa dengan kapal melalui jalan laut. Sama ada yang diseret jalan darat atau pun melalui jalan laut penuh dengan derita seksaan yang sangat dahsyat.
Setelah sampai di Bangkok mereka dipaksa berkerja keras, seperti menggali sungai dan lain-lain. Berlatarkan riwayat tersebutlah, manakala Wan Abdul Lathif telah dewasa, setelah memperoleh pengetahuan Islam yang cukup melalui pendidikan di Bendang Daya dan Mekah, beliau berhijrah ke salah sebuah perkampungan orang-orang Melayu di Bangkok dengan niat untuk memberikan pendidikan iman dan Islam kepada mereka di sana. Wan Abdul Lathif Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia di Kampung Thait, Bangkok. Ramai muridnya dan beberapa orang anak dan keturunannya masih menjadi ulama.Permulaan aktivitinya membantu kedua-dua orang saudaranya mengajar di Pondok Bendang Daya. Kedua-dua adik beradiknya itu ialah Syeikh Wan Muhammad Zain dan Syeikh Wan Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Syeikh Abdul Lathif bin Mustafa al-Fathani selain seorang ulama yang mahir berbagai-bagai bidang disiplin ilmu, se-umpama kedua-dua saudaranya juga, beliau mempunyai keistimewaan dalam bidang ilmu-ilmu al-Quran, termasuk tujuh qiraat dan pelbagai jenis lagu-lagu al-Quran. Selain itu beliau juga pakar dalam lagu-lagu Qasidah, Burdah, Nazham dan lain-lain.
HIJRAH KE BANGKOK
Dengan ilmu-ilmu seni yang dibenarkan oleh syarak tersebutlah sebagai modal Syeikh Abdul Lathif menyebarkan Islam di kota Bangkok yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu. Syeikh Abdul Lathif mendapat tempat istimewa di kalangan umat Islam keturunan Patani di Bangkok terutama di Kampung Thait, Propinsi Nuntburi yang terletak di pinggir kota Bangkok. Menurut beberapa cerita bahawa ramai orang Patani di beberapa perkampungan di sekitar kota Bangkok merupakan keturunan tawanan perang zaman dahulu.
Di Thait sendiri, orang-orang Patani yang menjadi tawanan perang Siam tersebut diketuai oleh seorang ketua. Yang dapat dikesan, orang Patani yang pertama menjadi tawanan perang ialah Haji Itam bin Ismail. Tahun 1989 saya sempat mencatat mengenai sejarah ini daripada salah seorang cicit beliau, yang ketika itu berusia lebih 90 tahun. Di antara cerita yang paling panjang diriwayatkannya ialah tentang beberapa peristiwa Kampung Thait, termasuk peristiwa kedatangan Syeikh Wan Abdul Lathif Bendang Daya al-Fathani dengan pelbagai aktivitinya menyebarkan ajaran agama Islam. Dakwah Islamiyah yang dilakukan oleh Syeikh Wan Abdul Lathif mencapai hasil yang positif yang berkesinambungan sampai sekarang. Iaitu beliau disambung oleh beberapa orang anaknya yang menjadi ulama besar, dan selanjutnya sekarang diteruskan oleh beberapa cucu dan cicitnya.
KAHWIN DI PATANI DAN BANGKOK
Syeikh Wan Abdul Lathif berkahwin dua kali. Sebelum ke Bangkok, beliau berkahwin di Patani dan memperoleh seorang anak lelaki yang bernama Haji Wan Ishaq. Wan Ishaq juga seorang ulama. Beliau membuka Pondok Pengajian di Kampung Telaga Sembilan. Pondok Pengajian Telaga Sembilan berakhir pada zaman anak saudaranya sekali gus cucu menantunya, bernama Haji Abdul Hamid atau lebih popular dengan Pak Cu Mid Telaga Sembilan saja. Ayah tuan guru ini (Haji Abdul Hamid) adalah seorang ulama besar, iaitu Haji Wan Idris atau Pak Cu Yih yang membuka pondok di Tok Raja Haji. Pak Cu Yih pula adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Ibu Tuan Guru Haji Abdul Hamid Telaga Sembilan pula bernama Hajah Wan Aisyah adalah anak kepada Syeikh Wan Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, saudara kandung Syeikh Wan Abdul Lathif bin Mustafa al-Fathani.Masyarakat Islam di kota Bangkok pada zaman itu sangat kasih kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan, apatah lagi sudah mencapai peringkat sebagai seorang ulama besar seperti Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang diriwayatkan ini. Tidak hairanlah bahawa beliau diambil jadi menantu oleh seorang hartawan pemilik tanah persawahan yang banyak dan luas di kota Bangkok. Perkahwinan Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani tersebut memperoleh anak dan zuriat yang ramai.
KETURUNAN
Beberapa orang anak Syeikh Wan Abdul Lathif Bendang Daya al- Fathani yang menjadi ulama besar pembina masyarakat Islam yang berilmu dan beramal diperkenalkan di bawah ini, ialah:
1. Haji Wan Muhammad Nur al-Fathani, beliau mendapat pendidikan asas daripada ayahnya sendiri. Seterusnya melanjutkan pelajaran dengan ayah saudaranya, Syeikh Wan Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) di Pondok Bendang Daya, Patani. Kemudian beliau belajar pula kepada ayah saudaranya yang bongsu, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani di Mekah. Terakhir sekali kepada saudara sepupunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani juga di Mekah. Setelah guru dan saudara sepupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani, yang dikasihinya itu meninggal dunia, Haji Wan Muhammad Nur dijodohkan dengan anak Syeikh Ahmad al-Fathani yang bernama Hajah Wan Fatimah. Bererti beliau berkahwin dengan anak saudara sepupu. Perkahwinan seperti ini dibolehkan di dalam Islam, tidak ubahnya seperti perkahwinan antara Saidina Ali dengan Siti Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w. Manakala Haji Wan Muhammad Nur bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani pulang ke Bangkok, beliau aktif mengajar masyarakat. Dalam tahun 1971 saya sempat bertemu beliau dalam umur yang sangat tua (sekitar 100 tahun). Berbagai-bagai maklumat sempat saya catat daripada beliau.
2. Haji Wan Ahmad bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani, beliau mendapat pendidikan juga sama dengan saudaranya Haji Wan Muhammad Nur al-Fathani. Ketika Haji Wan Ahmad dari Mekah tidak pulang ke Patani ataupun Bangkok tetapi terus ke Kelantan bersama Tok Kenali, yang merupakan sahabat beliau. Oleh keluarga Syeikh Abdus Shamad Pulai Condong, beliau diajak bersama-sama mengajar di Pondok Pulai Condong. Walaupun tidak lama, namun Haji Wan Ahmad sempat mengajar sama ada di pondok mahupun di beberapa tempat di dalam Kelantan. Haji Wan Ahmad meninggal dunia pada 1946 M. di Kelantan dengan meninggalkan enam orang anak. Daripada perkahwinannya dengan Hajah Zainab Kelantan memperoleh anak bernama Hajah Wan Halimah yang berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena. Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena adalah cucu Tok Bendang Daya II, kerana ibunya bernama Hajah Wan Minah adalah anak Tok Bendang Daya II (Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani). Bererti Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena ini adalah anak saudara sepupu kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani. Sangat banyak catatan sejarah keluarga Sena atau Bendang Daya saya terima daripada Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena (1970 - 1972 di Patani) daripada ibu beliau Hajah Wan Minah bin Tok Bendang Daya II di Mekah tahun 1979, yang ketika itu umur beliau sekitar 100 tahun. Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani sebelum berkahwin dengan Hajah Wan Zainab Kelantan pernah berkahwin di Mekah dengan seorang perempuan yang berasal dari Indonesia, memperoleh dua orang anak perempuan ialah Habibah dan Hamidah. Daripada dua orang anak perempuan beliau itu menurunkan keluarga yang ramai. Sebahagian besar menetap di Mekah dan ada juga yang mendapat pendidikan tinggi di Amerika dan lain-lain.
3. Haji Wan Ismail bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani, beliau juga mendapat pendidikan asas daripada ayahnya, seterusnya melanjutkan pelajarannya ke Mekah kepada ayah saudaranya Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani. Juga belajar kepada saudara sepupunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, tetapi tidak lama kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada 1325 H/1908 M. Selanjutnya setelah Tok Kenali membuka pondok di Kelantan, beliau turut muzakarah ataupun belajar kepada Tok Kenali, murid kesayangan Syeikh Ahmad al-Fathani itu. Manakala Tuan Guru Haji Wan Ismail pulang ke Bangkok beliau terus dilantik sebagai imam dan guru di Masjid Jamik Thait.
Juga mengajar di Anjuman Islam Bangkok dan tempat-tempat lainnya. Haji Wan Ismail bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani meninggalkan beberapa orang anak yang menjadi alim ulama. Yang paling terkenal di seluruh Thailand ialah Tuan Guru Haji Yahya atau lebih popular Acan Yaya saja. Beliau ini pernah sebagai Timbalan Cula, iaitu merupakan kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di kerajaan Thailand. Walau bagaimana pun Tuan Guru Haji Yahya (Acan Yaya) tidak sempat menjadi Cula, kerana beliau menolak untuk dicalonkan memegang jabatan itu.Berikutnya adik-adik Tuan Guru Yahya al-Lathifi yang menjadi guru agama ialah Haji Abdullah, Haji Sulaiman dan Haji Tajuddin. Tuan Guru Haji Yahya dan saudara-saudaranya serta keluarga besarnya telah mengabadikan nama datuknya Syeikh Wan Abdul Lathif dengan membangunkan sekolah Islam dan pondok dengan nama Lathifuddin. Pendidikan Pondok Lathifuddin diasaskan tahun 1976 masih ada sampai sekarang dan setiap tahun menerima murid dibataskan hanya 300 orang pelajar.
KESIMPULAN
Yang dipaparkan di atas hanyalah segelintir aktiviti keluarga Sena atau Bendang Daya, Patani, yang nenek moyang mereka adalah termasuk sebahagian penyebar Islam yang pertama sampai di dunia Melayu. Kiranya penting juga saya salin beberapa kalimat yang terukir dalam salasilah asal keluarga Sena atau Bendang Daya, Patani, sebagai dokumen dan pegangan, ialah: ``Janganlah putus rahim sesama saudara Islam. Lagi mula satu keturunan Bendang Daya, Patani. Jangan beri jadi macam sekarang hingga tukar dua ibu bapa, sahabat handai nafsi-nafsi di atas dunia, belum sampai ke alam akhirat lagi''.Catatan yang lain dalam salasilah yang sama pula, ialah: ``Bala yang sangat ditakuti di atas dunia ini:Muda mulia, tua hinaMula kaya, akhir papaMula sekutu, akhir berceraiAwal berkasih-kasih, akhir berbenci-benciHadapan baik, belakang mengumpatMula sepakat, akhir buat puak-puakBerbenci sama sendiri, kasih bangsa asingMula Islam, akhir murtad''.

MUHAMMAD YASIN

ULAMA KEDAH BERHIJRAH KE MEMPAWAH

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MAKLUMAT bertulis berupa tulisan tangan dan kitab-kitab peninggalan Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah ini telah ditemui di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, Kalimantan Barat tahun 1998 Masihi. Selain itu jauh sebelum ini, sumber-sumber sahih yang dapat dipercayai diperoleh daripada Tuan Guru Haji Abdur Razzaq. Ulama yang berasal dari Daik, Kepulauan Riau ini wafat di Mempawah, 1978 dalam usia hampir 100 tahun, adalah murid yang terakhir Haji Muhammad Yasin Kedah, saya sempat bergaul dengan beliau sejak tahun 1968 hingga 1978. Daripada beliau banyak diperoleh informasi tentang ulama yang berhijrah dari Kedah ke Mempawah yang diriwayatkan ini. Diriwayatkan bahawa ulama yang berasal dari Kedah itu belajar di Mekah lebih dua puluh tahun. Untuk memenuhi sara hidupnya selama belajar di Mekah, beliau mengambil upah menyalin pelbagai kitab Melayu/Jawi. Yang paling banyak disalinnya ialah kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Salah satunya ada dalam simpanan saya.
KEPERCAYAAN
Mengenai guru Haji Muhammad Yasin Kedah ketika belajar di Mekah, Haji Abdur Razzaq meriwayatkan, ``Sewaktu saya akan pergi ke Mekah dalam tahun 1889, waktu itu saya masih kecil, saya dibawa oleh ayah saya menziarah Tok Haji Mat Yasin. Ayah saya adalah murid yang setia dan kepercayaannya. Tok Haji Mat Yasin mengamanahkan berupa kiriman duit yang banyak kepada gurunya di Mekah, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik Fathani, pengarang Mathla'ul Badrain.'' Kata Haji Abdur Razzaq, ``Tok Haji Mat Yasin adalah termasuk khalifah dan mursyid Thariqat Qadiriyah di bawah jagaan Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Saya kurang pasti apakah beliau menerima langsung daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu ataupun beliau telah dibaiah oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, di antaranya Syeikh Abdul Karim Bantan ataupun Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ataupun Syeih Nik Mat Kecik al-Fathani sendiri.''Memperlihatkan hal-hal yang tersebut saya berkesimpulan bahawa walaupun Haji Muhammad Yasin dikatakan murid kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, namun umur beliau barangkali tidak berjauhan. Atau sekurang-kurangnya beliau ini adalah murid peringkat terawal ulama yang berasal dari Patani kelahiran Pulau Duyung, Terengganu yang terkenal itu. Kedatangan Haji Muhammad Yasin ke Mempawah, Kalimantan Barat juga adalah ditugaskan oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, bukan kehendaknya sendiri.
MEMBUKA PONDOK
Diriwayatkan bahawa dakwah yang berantai yang dilakukan dari Semenanjung Melayu dan Patani ke Kalimantan Barat yang melibatkan setiap orang yang pergi haji ataupun orang yang sengaja semata-mata untuk belajar ke Mekah memang tahu pasti mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang berlanjutan sampai ke zaman Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Di kalangan sultan ataupun penembahan terutama Sultan/Penembahan Pontianak, Mempawah dan Sambas setiap tahun mengirim surat, barang-barang dan wang kepada ulama-ulama Patani, terutama kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.Oleh kerana banyak surat yang diterima daripada tiga kerajaan tersebut maka Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani telah mengutus beberapa orang muridnya berdakwah dan mengajar di Kalimantan Barat. Sedangkan yang telah menunggu di Mempawah ialah Tuan Guru Haji Wan Nik al-Fathani, yang sebelumnya telah dirintis oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adapun Haji Muhammad Yasin Kedah adalah di antara sekian ramai mubaligh dan ulama yang ditugaskan di Kalimantan Barat itu. Manakala Haji Muhammad Yasin sampai ke Pontianak, beliau ditampung oleh Sultan Pontianak yang memerintah ketika itu iaitu Sultan Syarif Yusuf bin Syarif Abdul Hamid al-Qadri (1873 Masihi - 1895 Masihi). Sultan meminta beliau mengajar di istana dan masyarakat Pontianak. Permintaan itu beliau persetujui, namun mengajar di Pontianak tersebut hanya beberapa bulan, kerana pada pandangan beliau mengajar dengan cara menerima gaji adalah mencerminkan kurang tawakalnya terhadap Allah. Haji Muhammad Yasin Kedah lebih suka berdikari daripada diarahkan oleh orang lain. Beliau bermohon kepada Sultan Pontianak untuk melakukan pengembaraan ke utara, maksudnya adalah Mempawah dan Sambas. Pada khayalannya apabila berjalan menuju ke utara adalah bersifat mendaki atau naik ke atas, maka segala cita-cita akan tercapai. Sebaliknya apabila menuju ke selatan adalah bersifat menurun, maka akan menempuh gangguan dan cubaan, kejayaan sukar dicapai.Tujuan pengembaraan ini ialah mencari lokasi untuk membuka satu institusi pengajian pondok. Beliau berkenan sebuah lokasi yang mempunyai sebuah sungai yang mengalir dan letaknya di tepi laut. Apabila tempat yang demikian ada penduduknya, maka akan lekas berkembang kerana dari pihak laut orang akan datang ke daratan. Tabiat air pula mengalir dari hulu menuju pantai, maka orang akan datang menuju pondok itu mengikut jalan dan tabiat air tersebut.Hanya dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang enam puluh kilometer, Haji Muhammad Yasin Kedah tidak jadi meneruskan perjalanannya ke utara kerana tempat yang sesuai menurut beliau membuka pondok pengajian itu telah ditemuinya. Tempat tersebut ialah Kampung Kuala Secapah yang merupakan muara sungai Mempawah. Di Sungai Mempawah itulah dahulunya tempat pahlawan Bugis bernama Upu Daeng Menambon mulai melabuhkan perahunya yang kemudian mudik ke hulu kira-kira empat kilometer, lalu membentuk sebuah kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Mempawah.Kedatangan Haji Muhammad Yasin disambut gembira oleh penduduk kerana sebelum kedatangan beliau ke situ namanya memang sudah sangat terkenal sama ada di kalangan elit kerajaan mahupun masyarakat yang memang fitrahnya mengasihi para ulama. Dipercayai kedatangan beliau ke Mempawah ialah pada zaman pemerintahan Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Shafiuddin (kira-kira tahun 1872 Masihi - 1887 Masihi). Menurut riwayat, Haji Muhammad Yasin membina sebuah rumah yang besar di Kampung Kuala Secapah tersebut, orang pun datang berbondong-bondong kerana menimba ilmu dan berkat kekeramatannya. Dalam waktu yang relatif singkat ada pula yang membuat pondok di sekeliling rumah beliau. Haji Muhammad Yasin Kedah menarik minat masyarakat dengan pelbagai kepandaiannya. Dari sudut kesenian yang bercorak Islam beliau adalah seorang ulama yang pandai bermain Hadhrah. Sampai sekarang masih ada golongan masyarakat Kuala Secapah khususnya dan Kalimantan Barat umumnya pandai bermain Hadhrah yang bersumber daripada Haji Muhammad Yasin Kedah.Menurut keterangan masyarakat permainan Hadhrah bahawa sanad kesenian itu berasal daripada Syeikh Abu Bakar al-Adani. Selain kesenian shufi berupa Hadhrah Haji Muhammad Yasin juga mengajar pelbagai lagu Barzanji, Nazham dan Burdah. Semua kesenian yang tersebut itu masih belum pupus di Mempawah, Kalimantan Barat terutama sekali Barzanji hampir setiap malam ada saja orang-orang yang mengadakan upacara itu. Bagi murid-murid yang memahami ilmu tauhid, fikah dan tasawuf, beliau tawajjuhkan zikir Thariqat Qadiriyah yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat terkenal diajarkan oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah pada abad ke 19 itu. Semua yang tersebut di atas merupakan pelajaran tambahan sebagai alat penyeru masyarakat yang berminat pada seni. Mata pelajaran pokok yang diajarkan di pondok Haji Muhammad Yasin Kedah tersebut sama seperti pondok-pondok di Patani. Pondok yang beliau asaskan di Kampung Kuala Secapah, Mempawah tersebut merupakan pondok pengajian mengikut sistem pondok Patani yang pertama sekali di Kalimantan Barat.
DIANGGAP KERAMAT
Oleh kerana Haji Muhammad Yasin Kedah memang seorang yang hebat dalam bidang keilmuan dan banyak pula perkara-perkara menyalahi adat yang dapat disaksikan oleh masyarakat luas dengan mata sendiri pada zamannya, maka beliau dianggap seorang yang keramat oleh masyarakat. Bukti-bukti kekeramatan dan keberkatannya sangat banyak. Menurut cerita masyarakat, sebelum kedatangan beliau, silang sengketa sesama masyarakat sering terjadi, namun setelah beliau datang semua masyarakat tiba-tiba rukun dan damai. Semenjak beliau datang rezeki melimpah ruah, hasil tanaman padi berlipat ganda yang sebelumnya selalu diserang oleh hama, tikus dan air masin menghentam tanaman padi. Demikian halnya juga dengan perkebunan kelapa, selain berbuah lebat harganya juga dijual dengan baik dan memuaskan. Salah satu keistimewaan ulama ini ialah beliau tidak mahu membunuh binatang walau sekecil nyamuk sekalipun. Di kampung tempat beliau membuka pondok itu jika musim angin barat nyamuk sangat banyak. Jenis nyamuknya pula apabila menyengat bisanya sangat berkesan sakit dan gatal-gatal. Bagi orang biasa seekor nyamuk menggigit saja sudah tidak sanggup menahan bisa, tetapi bagi beliau beribu-ribu nyamuk hinggap ke atas tubuhnya beliau biarkan saja, jangankan membunuhnya menghalaupun tidak.
KETAQWAAN
Keramatnya pula, bahawa semua murid yang datang belajar di pondoknya tanpa dikenakan bayaran berupa apapun dan semuanya beliau beri makan dengan belanja kewangan beliau sendiri. Hal ini sangat menghairankan masyarakat kerana tidak diketahui dari mana beliau memperoleh kewangan untuk keperluan perbelanjaan yang tidak sedikit itu. Haji Muhammad Yasin Kedah dengan penuh yakin menyatakan bahawa rahsianya terletak pada ketaqwaan masyarakat dengan memperbanyak ibadat yang pelbagai corak ragamnya. Tetapi di antara amal yang paling penting ialah memperbanyakkan zikrullah dan selawat serta salam ke atas Nabi s.a.w. Apabila dua amalan tersebut telah menjadi darah dan daging, maka pertolongan Allah akan datang di luar dugaan akal manusia, semuanya boleh terjadi. Yang demikian itu mudah bagi Allah, apabila Allah telah meredhainya. Berdasarkan penyaksian masyarakat, Haji Muhammad Yasin Kedah sememangnya banyak melakukan ibadat. Beliau mempunyai bilik khas untuk melakukan ibadat bersendirian selain tempat yang digunakan untuk berjamaah. Di dalam tempat khas itulah beliau banyak mengkhatam zikir nafi dan isbat tujuh puluh ribu kali. Sedangkan zikir dalam berjamaah dilaksanakan sesudah sembahyang lima kali sehari semalam hanya seratus enam puluh kali. Selawat yang beliau amalkan ialah `Salawat Dalail al-Khairat' yang dibaca setiap hari dan dikhatamkan setiap hari Isnin. Selain selawat tersebut, beliau juga mengamalkan `Salawat Quraniyah' dan `Salawat Seratus Empat Puluh Sembilan' yang terdapat dalam Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali Kutan, al-Kalantani.