Jumat, 30 Januari 2009

SYEIKH MUHAMMAD ARIFIN SYAH


Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PENYEBAR Islam peringkat awal di Patani masih belum banyak dibicarakan. Salah seorang daripada mereka termasuklah Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani. Beliau adalah seorang Arab yang berasal dari Yaman. Beliau digelar ‘Tok Kelupang’. Barangkali yang dimaksudkan dengan gelar Tok Kelupang untuk Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah itu ialah kerana selain seorang ulama beliau juga sebagai raja.

Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah pernah menjadi ketua pemerintahan di Cabang Empat Patani. Dari sumber lain yang saya catat di Kampung Pauh Bok (tahun 1989) ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah ada tiga adik-beradik yang lelaki sesudahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Saman Syah dan yang seorang perempuan namanya tidak jelas. Sekiranya cerita ini benar maka dalam maklumat yang lain dapat dikesan bahawa Syeikh Wan Muhammad Saman Syah itu nama sebenarnya ialah Saiyid Tsanauddin.
Ada orang meriwayatkan bahawa beliau adalah adik-beradik dengan Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra. Orang lain meriwayatkan pula bahawa ada lagi seorang adik mereka menyebarkan Islam di Brunei, namanya ketika di Patani ialah Wan Nik. Jika riwayat versi cerita lisan orang tua-tua di Patani tersebut adalah benar, maka sangat mudah mencari nama adik beradiknya yang lain. Tetapi dalam buku Sejarah Ringkas Wali Songo karya K.H.R.Abdullah bin Nuh, ketiga-tiga nama ulama yang diriwayatkan versi dari Patani tidak tersebut dalam salasilah sebagai adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra.
Adik-beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra menurut buku itu ialah: 1. Jamaluddin al-Husein. 2. Muhyiddin Syah 3. Alauddin Abdullah. 4. Amir Syah Jalal. 5. Alwi Qutub Khan. 6. Hasanuddin. 7. Qadir Binahsan. 8. Ali Azamat Syihabuddin Umar Khan (dalam Sejarah Ringkas Wali Songo , hlm. 36). 9. Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah @ Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani. 10. Syeikh Wan Muhammad Samman Syah al-Fathani @ Syeikh Wan Tsanauddin al-Fathani dan 11. Wan Nik al-Fathani (Nombor 9, 10 dan 11 dari dokumen dan cerita orang tua-tua di Patani).

HUBUNGAN KELUARGA

Diriwayatkan pula bahawa ulama-ulama daripada keluarga tersebutlah yang membuka Kampung Jambu dan sekitarnya. Perkataan ‘Syah’ di hujung nama bererti Raja. Oleh itu barangkali yang disebut oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh di dalam bukunya Ringkasan Sejarah Wali Songo (terbitan Teladan, Surabaya, tanpa tahun, hlm. 25) bahawa ada tiga orang yang pada pangkal namanya bergelar Raja. Mereka ialah Raja Fathul Arifin Abdul Maula, dengan gelaran Solihinuddin, wafat di Siam pada 999 H/1590 M, Raja Badruddin Muhammad Ali, dikatakan juga wafat di Siam tahun 993 H/1585 M dan Raja Samiruddin Alwi al-Akbar yang wafat di Annam tahun 1001 H/1592 M.

Ketiga-tiga orang tersebut dari satu pertalian keturunan dengan Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah dan diperkirakan hidup sezaman dengan keturunan beliau iaitu Syeikh Muhammad Jailani Pauh Bok al-Fathani. Barangkali yang dimaksudkan oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh ada dua orang yang wafat di Siam itu sebenarnya adalah dalam wilayah Daulah Islamiyah Fathani Darus Salam.
Yang dimaksudkannya dengan Annam itu sebenarnya adalah negeri Cam. Dalam bahasa Indonesia disebut juga dengan Campa. Beberapa penulis Indonesia tidak menerima pendapat bahawa beberapa Wali Songo itu berasal dari Campa, mereka tidak mengetahui istilah ‘Cam’ dan hubungannya dengan Patani.

Oleh itu mereka berpendapat ‘Campa’ itu kemungkinan adalah ‘Jeumpa’ yang terletak di Aceh. Sebagai contoh dapat dibandingkan dengan tulisan Widji Saksono dalam bukunya Mengislamkan Tanah Jawa, Di manakah letak Campa ? Untuk menetapkan letak negeri ini Prof. Dr. Hoesein Djajadiningrat mengajukan kutipan dari Sejarah Banten Rante-Rante yang meriwayatkan bahwa sepeninggal Raden Rahmat ke Jawa, Campa diserang oleh Raja Koci.
Riwayat ini diperkuat pula oleh Walisana (IV: 21-22) yang juga menyatakan bahwa Kerajaan Campa akhirnya binasa kerana digempur oleh Raja Koci. Sejarah Banten juga memperkuat berita ini, hanya saja disebutkan bahwa penggempurnya adalah Raja Pelbegu dan Sengora. Di manakah letak Campa, Koci dan Sengora itu secara pasti, Dr. Hoesein menyatakan tidak tahu. (Mengislamkan Tanah Jawa, Penerbit Mizan, 1995 M, hlm. 25).

Perlu saya jelaskan bahawa hingga ke zaman Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 H/Januari 1908 M) masih terdapat surat-surat dari orang-orang Cam/Campa (Kemboja) kepada ulama yang berasal dari Patani itu. Untuk jelasnya dapat dilihat karya beliau Al-Fatawal Fathaniyah. Mengenai ‘Koci’ (Kuci, pen:) juga disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Al-Fatawal Fathaniyah (lihat transliterasi, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, cetakan pertama, 1996 M, hlm. 38). Ada pun Sengora bahasa Melayu yang asal ialah Senggora kemudian ditukar oleh pemerintahan Thailand dengan Songkhla. Senggora terletak arah ke utara Patani, salah seorang ulama yang berasal dari Senggora ialah Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora) ahli qiraat di Mekah yang sangat terkenal pada zamannya.

Saya kembali tentang negeri Cam, bahawa asal mula negeri Cam itu sebenarnya adalah dibuka oleh penyebar-penyebar Islam dari Fathani Darus Salam bersama-sama para zuriat Rasulullah s.a.w. yang akan menyebarkan Islam ke negeri China. Akhirnya pada praktik bukan saja ke negeri China tetapi juga menurunkan Wali Songo di Jawa dan tempat-tempat lainnya di seluruh alam Melayu.

KETURUNAN

Kembali kepada cerita tentang Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah, beliau memperoleh anak bernama Syeikh Wan Abdul Jabbar Syah, juga seorang raja dan ulama. Anak Syeikh Wan Abdul Jabbar Syah bernama Syeikh Wan Abdul Mubin I (yang pertama). Beliau ini sangat giat menyebarkan agama Islam kepelbagai pelosok dalam Patani. Barangkali Syeikh Wan Abdul Mubin I inilah yang disebut juga namanya dengan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Berdasarkan cerita rakyat mengenai Syeikh Gombak Abdul Mubin yang telah saya tulis, beliau bersahabat dengan Syeikh Shafiyuddin dan Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa mengislamkan raja Patani (lihat Perkembangan Tasawuf dan Tokoh-tokohnya di Nusantara, Al-Ikhlas, Surabaya, 1980, hlm. 19-23).

Setelah ditemui beberapa manuskrip dan cerita orang tua-tua yang dikumpulkan daripada pelbagai kampung dalam Patani dan lain-lain maka tulisan yang terdahulu dirasakan perlu lebih diperkemas dan dibahas dalam bentuk yang lebih ilmiah berdasarkan data dan fakta. Selanjutnya Syeikh Wan Abdul Mubin I memperoleh seorang anak yang melanjutkan tugas beliau sebagai ulama, iaitu Syeikh Wan Hamzah.
Anak Syeikh Wan Hamzah bernama Syeikh Wan Muhammad Masari juga meneruskan tugas dakwah dan pendidikan Islam.
Syeikh Wan Muhammad Masari memperoleh lima anak: 1. Syeikh Wan Abdul Mubin II; 2. Syeikh Wan Abdur Rahman; 3. Syeikh Wan Muhammad Jailani @ Tok Janggut; 4. Syeikh Wan Muhammad Yunus; dan 5. Wan Maula (perempuan).

Daripada lima orang bersaudara kandung itu yang dapat dikesan keturunannya hanyalah Syeikh Muhammad Jailani yang bergelar Tok Janggut. Dalam riwayat yang lain gelaran Tok Janggut juga pernah diberikan kepada Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah. Di sini saya buat sedikit pembetulan kerana dalam buku saya berjudul Manhalush Shafi Syeikh Daud al-Fathani saya tulis bahawa Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani bersaudara kandung empat orang, iaitu Syeikh Abdul Mubin, Syeikh Abdur Rahman, Syeikh Yunus dan Maula.

Seharusnya tiga orang ulama tersebut adalah ayah saudara kepada Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Muhammad Jailani. Wan Maula itu adalah ibu saudara Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Muhammad Jailani. Sumber tulisan tersebut ialah sebuah salasilah yang berasal daripada Haji Sulaiman, salah seorang keturunan ini di Brunei Darussalam.
Ada pun salasilah yang ditulis dalam artikel ini (pembetulan daripada tulisan pertama) adalah berdasarkan tulisan tangan Guru Haji Abdul Mubin IV bin Muhammad Thaiyib al-Jarimi al-Fathani. Saya berpendapat versi kedua ini adalah lebih sahih. Oleh itu tulisan yang pertama dalam Manhalush Shafi itu pada konteks ini adalah dimansukhkan. Menurut maklumat terbaru (Oktober 1994), Syeikh Muhammad Jailani al-Jarimi al-Fathani itulah yang mengasaskan Pondok Pauh Bok yang mengeluarkan ulama-ulama terkenal. Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani kahwin dengan perempuan bernama Kesumah memperoleh beberapa orang anak yang menjadi ulama. Pertama, Al-Alim al-Allamah Syeikh Abdul Mubin (serupa namanya dengan ayah saudaranya Syeikh Wan Abdul Mubin bin Syeikh Muhammad Masari al-Jarimi al-Fathani). Oleh sebab nama serupa maka disebut saja dengan Syeikh Abdul Mubin III. Kedua, Al-Alim al-Allamah Syeikh Muhammad Shalih. Ketiga, Al-Alim al-Allamah Syeikh Abbas. Keempat, Al-Alim al-Allamah Syeikh Muhammad Yunus.

Makam Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani bersama-sama anaknya Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani terletak di sebelah kiri Masjid Pauh Bok. Makam dipagari dengan tembok yang tingginya sekitar dua jengkal saja. Di atas kubur ditanda dengan batu nisan daripada batu asli berwarna putih dengan pancaran sinar berkilau-kilau seperti intan berlian. Kubur yang di sebelah kanan ialah kubur Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani sedangkan yang di sebelah kiri adalah kubur anak beliau Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani.

Sekitar masjid, perkuburan dan tempat yang didiami oleh penduduk di kawasan Pondok Pauh Bok itu telah mengkaderkan ramai ulama dunia Melayu pada zaman silam yang terkenal. Al-Alim al-Allamah Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani memperoleh 11 anak, tiga di antaranya adalah ulama besar. Menurut kepercayaan masyarakat seorang antara tiga orang itu dianggap sebagai Wali Allah pada Makam Wali Quthub kerana sangat banyak ‘karamah’ yang berlaku kepada beliau. Yang 11 orang yang dimaksudkan ialah Wan Mah, Wan Na, Wan Dariyah, Wan Nik, Al-Alim al-Allamah Syeikh Wan Ahmad, Wan Dakarik, Wan Masuji (perempuan), Wan Jampati, Wan Dekama, Al-Alim al-Allamah Wali Allah Syeikh Wan Abdur Rahman dan Al-Alim al-Allamah Syeikh Wan Abdullah. Anak yang terakhir ini menghasilkan karya berjudul Tanbih al-Ghafilin yang ditulis dalam bahasa Melayu. Karya tersebut masih ada di pasaran kitab.

Daripada 11 orang anak Syeikh Abdul Mubin III itu, yang dapat dikesan meninggalkan keturunan setakat ini ialah melalui jalur Wan Masuji (nombor 7) dan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani (nombor 10) saja. Anak Wan Masuji bernama Haji Wan Sulaiman al-Fathani mula-mulanya berpindah dari Patani ke Kampung Ibai, Terengganu dan kemudian pergi ke Brunei kerana menyebarkan agama Islam di sana.

Haji Wan Sulaiman al-Fathani memperoleh anak empat orang. Anak pertama, Wan Muhammad (di Tendong, Rakok, Patani); kedua, Wan Ismail (di Kampung Ibai, Terengganu); dan ketiga, Wan Syihabuddin yang dilahirkan di Brunei Darussalam.
Wan Syihabuddin mula-mula tinggal di Kampung Hujung Tanjung, Brunei. Nama lengkapnya di Brunei Darussalam ialah Pehin Orang Kaya di Gadong Awang Shahbuddin.
Anak keempat Haji Wan Sulaiman al-Fathani, Siti Radhiyah juga menetap di Brunei Darussalam.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar